Firman Allah S.W.T

"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tidak mempunyai seorang penolong pun selain Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan"
-Surah Hud :113-

PENGERTIAN SIRAH

 
Memahami pengertian sirah itu sendiri akan sedikit sebanyak memberikan kesedaran ke atas diri kita sendiri mengenai betapa pentingnya mengetahui sirah kehidupan junjungan besar kita, nabi Muhammad S.A.W.  Menerusi pembacaan, menurut Ibnu Mandzur dalam kitab Lisanul Arab menyatakan bahawa As Sirah menurut bahasa bermaksud kebiasaan, jalan, cara dan tingkah laku.  Menurut istilah umum pula, ianya membawa maksud perincian hidup seseorang atau sejarah hidup seseorang.


Para ulama pula bersepakat menyatakan bahawa apa yang dimaksudkan dengan as-Sirah an-Nabawiyah ialah rakaman sejarah hidup Rasulullah S.A.W yang komprehensif dan kini sudah menjadi satu nama atau istilah daripada disiplin ilmu yang tersendiri.
Ada dalam kalangan ulama ahli sejarah terdahulu memakai istilah ‘Ilmu peperangan dan Sejarah’ sebagai kata nama yang mengantikan perkataan sirah.  Pada dasarnya sirah memperbahaskan 3 keadaan utama iaitu :
1.    Sejarah kehidupan Rasulullah S.A.W sejak tanda-tanda kenabian (sejak lahir) sampai wafatnya.
2.    Sejarah kehidupan para sahabat yang beriman dan berjihad bersama beliau.
3.    Sejarah penyebaran cahaya Islam yang dimulai turunnya Al ‘Alaq di Gua Hira sampai berduyun-duyun umat manusia di Jazirah Arab memasuki Islam.
Maka, dapatlah disimpulkan bahawa sirah dalam konteks kehidupan Rasulullah S.A.W bermaksud perincian perjalan hidup Rasulullah S.A.W itu sendiri bermula dari baginda dikandung oleh ibunda baginda sehingga saat kewafatan baginda S.A.W. Kata kunci yang boleh dipegang ialah pengajian sirah bukan sahaja mengkaji peristiwa dan mengabaikan pengajaran yang terdapat di dalamnya, sebaliknya pengajian ini lebih kepada meletakkannya sebagai asas dan panduan dalam hidup.

Dalam ilmu Islam, setiap perkataan tidak kira kata nama mahupun perbuatan akan memberi dua cabang maksud iaitu dari segi bahasa dan istilah.  Sebagai contoh, pengertian sirah itu sendiri membawa dua maksud yang berbeza walaupun hampir sama maknanya.  Menurut bahasa, sirah merupakan jalan, cara, ataupun tingkah laku manakala menurut istilah ianya membawa maksud perincian perjalanan hidup seseorang.
Berdasarkan perkara diatas, terdapat beberapa ahli bahasa yang berselisih pendapat mengenai pengertian sirah dan sejarah.  Ada yang mengatakan bahawa sirah dan sejarah ini merupakan satu perkara yang sama manakala ada juga yang mengatakan ianya merupakan dua benda yang berbeza.

Sirah merupakan satu bidang khas yang mengkaji keperibadian Rasulullah S.A.W dalam bentuk realiti hidup baginda setelah memahami dasar, asas-asas Islam dan hukum-hukumnya.  Manakala pengajian sejarah pula merupakan satu pengajian yang mengkaji peristiwa-peristiwa sejarah, mengkaji kekurangan dan kebaikan yang terdapat dalamnya.



Contohnya, sejarah hitam yang berlaku di negara kita pada 13 Mei 1969 yang banyak mengorbankan nyawa dan selepas itu para pemimpin negara mengambil iktibar dan pelbagai inisiatif daripada peristiwa tersebut agar perkara tersebut tidak berulang lagi.  Berbeza dengan pengajian sirah Rasulullah S.A.W yang mana umat manusia akan belajar dan meniru segala apa yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W.

Pengajian sirah tidak sama dengan pengajian sejarah.  Objkektif utama pengajian sirah adalah untuk menjadikan Nabi saw sebagai model dan contoh kepada umatnya.  Oleh itu sumber pengajiannya pastinya adalah yang terbaik dan dan tanpa keraguan.  Para ulama menggariskan sumber-sumber berikut dalam pengajian sirah.
1.    Al-Quran
Al Quran merupakan sandaran utama dalam memahami ciri-ciri umum mengenai kehidupan Rasulullah S.A.W.  Ianya juga merupakan rujukan utama untuk memahami sifat-sifat umum Rasulullah S.A.W dan mengenal tahap-tahap umum dari sirah yang mulia ini.   
Al-Quran mengunakan dua pendekatan dalam mengemukakan sirah Rasulullah S.A.W iaitu dengan mengemukakan sebahagian kejadian dari kehidupan dan sirahnya seperti ayat-ayat yang menjelaskan tentang perang badar, perang uhud serta ayat-ayat yang mengisahkan perkahwinan dengan Zainab binti Jahsyi.  Kedua mengomentarikan peristiwa-peristiwa yang terjadi untuk menjawab masalah-masalah yang timbul, mengungkapkan masalah yang belum jelas atau nasihat yang terkandung di dalamnya.  Semua itu berkaitan dengan salah satu aspek dari sirahnya.  Tetapi perbicaraan al-Quran tentang semua itu disampaikan secara umum dan terputus-putus serta penyajian secara global.
2.    Al-Hadith Rasulullah S.A.W
Kitab-kitab yang ditulis para Muhaddithin yang terkenal kebenaran dan amanah mereka.  Hadith merupakan rujukan kedua yang terkandung dalam kitab-kitab hadis yang muktabar walaupun pada permulaannya belum tersusun secara urutan dan sistematik kerana pada kebanyakan ulamak hadis menyusun kitab mereka berdasarkan bab-bab feqah.
Antara keistimewaan sumber kedua ini ialah bahawa sebahagian besarnya isi riwayatnya dengan sanad yang shahih yang bersambung dengan Rasulullah S.A.W seperti peristiwa haji al-Wada’ yang diriwayatkan secara terperinci.
Antara buku rujukan terbaik dalam kategori ini ialah buku Asas fi Sunnah oleh Said Hawa yang mana beliau telah menyusun hadis-hadis dan membahagikannya mengikut urutan masa hayat Rasulullah dari kitab-kitab hadis yang muktabar.
3.    Syair zaman kenabian
Terdapat ramai kalangan orang-orang mukmin dari kalangan para sahabat yang menjadi penyair untuk mempertahankan Rasulullah S.A.W daripada cercaan dan tomahan penyair Musyrikin.
4.    Buku-buku sirah
Kesedaran dan keinginan untuk menulis Sirah Nabi S.A.W mula muncul dan dilaksanakan oleh beberapa orang sahabat seperti Urwah Ibn Zubair, Wahab Ibn Munabbih, Syurhabil Ibn Saad, dan Syihab az-Zuhri.  Bagaimanapun, sebahagian besar penulisan mereka tidak sampai kepada kita kecuali sebahagian yang diriwayatkan oleh Imam ath-Thabari dan beberapa bab yang dikarang oleh Wahab Ibn Munabbih yang tersimpan di kota Haidelberg, Jerman.

Para peneliti sejarah bersepakat bahawa kitab Maghazi karangan Ibnu Ishaq tentang sirah Rasulullah S.A.W merupakan penulisan yang paling dipercayai pada zamannya walaupun kitab karangannya itu tidak sampai kepada kita pada hari ini.  Selepas lebih dari 50 tahun kitab Maghazi diterhasil, muncul pula Abu Muhammad Abdul Malik yang dikenal sebagai Ibn Hisyam menyusun sirah Rasulullah S.A.W.

Ibnu Khalkan, seorang  hakim di Kota Damaskus, Syria berkata, Ibnu Hisyam adalah orang yang mengumpulkan sirah Rasulullah S.A.W dari kitab Maghazi karya Ibnu Ishaq.  Kemudian ia meringkas dan merangkumnya.  Inilah kitab yang berada dalam masyarakat dan dikenali dengan Sirah Ibn Hisyam.”

Selain dalam kitab-kitab sirah, riwayat yang menceritakan kehidupan Rasulullah S.A.W juga terdapat dalam kitab hadith.  Contohnya, dalam Shahih al-Bukhari terdapat kitab Al-Maghazi, sebuah kitab yang berisi cerita perang pada masa Rasulullah S.A.W.  Dalam Shahih Muslim pula, terdapat kitab Al-Jihad dan kitab As-Siar. Manakala kitab-kitab hadith seperti kitab Ashab as-Sunnan iaitu kitab sunan Abu Dawud, at-Tirmidzi, an-Nasa’i, dan Ibn Majah, mempunyai beberapa hadis sahih, hasan, dan juga dhaif mengenai kehidupan Rasulullah S.A.W.
Bahkan Imam at-Tirmidzi menulis sebuah kitab yang dinamakan sebagai kitab Asy-Syama’il al-Muhammadiyyah, yang mempunyai hadith-hadith yang menjelaskan sifat, ciri-ciri fizikal, perilaku, peribadatan, dan perkara lain yang berkaitan dengan diri Rasulullah S.A.W.
Pada zaman sekarang, terdapat buku-buku berkaitan sirah dalam Bahasa Melayu sama ada ditulis oleh ulama di sini atau terjemahan.  Antaranya buku terjemahan sirah yang boleh didapati di pasaran ialah Fiqh Sirah oleh Dr. Said Ramadhan al-Buti, Fiqh Sirah oleh Syeikh Muhammad al-Ghazali dan Sejarah Nabi oleh Abul Hassan Ali al-Nadwi.  Kisah-kisah Nabi Muhammad telah tersebar luas ke Alam Melayu dan kisah ini digubah kembali ke dalam Bahasa Melayu dalam bentuk hikayat seperti Hikayat Nur Muhammad, Hikayat Kejadian Nur Muhammad, Cerita Nabi Lahir, Hikayat Khatim al-Nabi dan Hikayat Kejadian Baginda Rasulullah.  Kitab-kitab ini merupakan penyaduran, ringkasan dan terjemahan dari bahasa Arab dan bahasa Parsi.


5 ulasan:

  1. blog awak ni bagus, tapi lagi bagus kalau ada tarikh dan semuanya ada rujukan. boleh student macam saya ni ambil as rujukan. senang nak bagi kredit hehe

    BalasPadam
  2. saya tak dapat apa saya nak

    BalasPadam
  3. Alhamdulillah...sedikit sebanyak dpt ilmu ...teruskan menulis sebagai rujukan kami...

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...