Firman Allah S.W.T

"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tidak mempunyai seorang penolong pun selain Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan"
-Surah Hud :113-

Hukum Allah satu kewajiban

Sejak akhir-akhir ini, seringkali kita melihat di dada-dada akhbar mengenai satu sistem undang-undang yang disediakan oleh Allah S.W.T, Pencipta manusia, makhluk lain dan sekalian alam, iaitu Hukum Hudud. Apa yang ingin ana kongsikan pada artikel kali ini bukanlah seperti apa yang hangat diperkatakan pada hari ini iaitu kesesuaian hukuman ini dilaksanakan, tapi sekadar ingin berkongsi apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan Hudud itu sendiri.


Dalam Islam, ada tiga hukuman yang perlu dilaksanakan dalam sesebuah pentadbiran Negara Islam iaitu Qisas, Hudud, dan Takzir. Ketiga-tiga hukuman ini boleh dijatuhkan sekiranya sesuatu jenayah dilakukan. Apa yang dimaksudkan dengan jenayah?

Jenayah menurut Islam

Menurut pandangan Islam, jenayah mempunyai 2 bahagian maksud. Yang pertama adalah menurut bahasa iaitu dosa atau maksiat. Manakala menurut Istilah pula boleh dibahagikan kepada 2 iaitu makna khas dan makna am. Dalam pengertian makna khas, jenayah bermaksud larangan syarak yang ditetapkan oleh Allah dengan hukuman Had atau Takzir sama ada melakukan larangan atau meninggalkan perintah. Manakala menerusi makna am, jenayah bermaksud pencerobohan yang dilakukan terhadap nyawa, pancaindera, atau anggota manusia seperti membunuh, melukakan, dan lain-lain.

Apa yang dimaksudkan dengan Qisas ?

Qisas dari segi bahasa ialah perturutan kesan atau persamaan. Dari segi istilah ianya bermaksud mengenakan hukuman yang sama dengan jenayah yang dilakukan terhadap mangsa yang melibatkan fizikal sama ada membunuh, mencederakan, dan sebagainya.

Dalam Al Quran dan As Sunnah, hanya dua kesalahan yang dikenakan hukum Qisas iaitu bunuh dengan sengaja dan mencederakan, melukakan, atau memotong anggota badan dengan sengaja. Bagaimana pula dengan orang yang membunuh tanpa sengaja? Persoalan ini di jawab sendiri menerusi Firman Allah S.W.T dalam surah An Nisa ayat 92 :


وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ أَن يَقْتُلَ مُؤْمِنًا إِلاَّ خَطَئًا وَمَن قَتَلَ مُؤْمِنًا خَطَئًا فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُّؤْمِنَةٍ وَدِيَةٌ مُّسَلَّمَةٌ إِلَى أَهْلِهِ إِلاَّ أَن يَصَّدَّقُواْ فَإِن كَانَ مِن قَوْمٍ عَدُوٍّ لَّكُمْ وَهُوَ مْؤْمِنٌ فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُّؤْمِنَةٍ وَإِن كَانَ مِن قَوْمٍ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ مِّيثَاقٌ فَدِيَةٌ مُّسَلَّمَةٌ إِلَى أَهْلِهِ وَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُّؤْمِنَةً فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ تَوْبَةً مِّنَ اللّهِ وَكَانَ اللّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا 

  
92. dan tidak harus sama sekali bagi seseorang mukmin membunuh seorang mukmin Yang lain, kecuali Dengan tidak sengaja. dan sesiapa Yang membunuh seorang mukmin Dengan tidak sengaja, maka (wajiblah ia membayar kaffarah) Dengan memerdekakan seorang hamba Yang beriman serta membayar "diah" (denda ganti nyawa) Yang diserahkan kepada ahlinya (keluarga si mati), kecuali jika mereka sedekahkan (memaafkannya). tetapi jika ia (yang terbunuh Dengan tidak sengaja) dari kaum (kafir) Yang memusuhi kamu, sedang ia sendiri beriman, maka (wajiblah si pembunuh membayar kaffarah sahaja dengan) memerdekakan seorang hamba Yang beriman. dan jika ia (orang Yang terbunuh Dengan tidak sengaja itu) dari kaum (kafir) Yang ada ikatan perjanjian setia di antara kamu Dengan mereka, maka wajiblah membayar "diah" (denda ganti nyawa) kepada keluarganya serta memerdekakan seorang hamba Yang beriman. Dalam pada itu, sesiapa Yang tidak dapat (mencari hamba Yang akan dimerdekakannya), maka hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut; (Hukum Yang tersebut) datangnya dari Allah untuk menerima taubat (membersihkan diri kamu). dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Perbincangan mengenai hukuman membunuh terhenti disini, lain kali baru kita sambung :) Hukum Qisas ini boleh dimaafkan oleh mangsa ataupun waris mangsa itu sendiri. Walaubagaimanapun, diyat wajib dibayar kepada mangsa ataupun waris sekiranya mereka dimaafkan. Namun jika mangsa mengampunkan pembunuhnya sebelum mati, hukuman Qisas dan diyat digugurkan kerana mangsa telah menggugurkan haknya.

Imam Syafie berpendapat bahawa pengampunan yang dimaksudkan di atas ialah melepaskan Qisas dengan percuma ataupun dengan bayaran diyat. Maksudnya satu pilihan diberikan kepada waris mangsa untuk memilih sama ada mengambil diyat ataupun memberi pengampunan.

Satu lagi info berguna mengenai hukum Qisas ini ialah orang yang berhak memberi pengampunan ialah waris mangsa yang mukallaf. Pendapat ini adalah berdasarkan pendapat Jumhur Ulama.

Apa pula yang dimaksudkan dengan Hudud ?

Hudud menurut bahasa ialah halangan, batasan, ataupun dinding. Manakala menurut istilah, ianya bermaksud hukuman yang ditentukan oleh syarak sama ada menjadi hak Allah atau hak manusia. Kesalahan-kesalahan yang dikenakan hukuman ini ialah :
  1. Zina
  2. Qazaf (menuduh zina)
  3. Minum Arak
  4. Mencuri
  5. Hirabah (merompak)
  6. Bughah (pemberontakan)
  7. Murtad
Bagaimana pula dengan Takzir ?

Takzir menurut bahasa ialah halangan. Manakala menurut istilah ianya membawa maksud hukuman terhadap maksiat atau jenayah yang tidak ditentukan kadarnya oleh syarak sama ada melibatkan hak Allah S.W.T atau hak manusia. Hukuman ini mengikut budi bicara pemerintah. Takzir merupakan hukuman kepada kesalahan-kesalahan selain yang dinyatakan diatas (kesalahan hukuman Qisas dan Hudud) contohnya :
  1. Riba
  2. Khalwat
  3. Rasuah
  4. Lain-lain

Kaedah pensabitan hukuman jenayah dalam Islam

Ada 4 cara untuk mensabitkan seseorang dengan jenayah menurut Islam iaitu :
  • Iqrar
Iqrar bermaksud pengakuan seseorang mengenai sesuatu yang dilakukannya sama ada secara lisan, tulisan, ataupun dengan isyarat.
  • Syahadah atau kesaksian
Kesaksian ini bermaksud keterangan yang benar dari orang lain (bukan si pelaku) menerusi penglihatan, pendengaran, dan pancaindera
  • Qarinah
Qarinah pula bermaksud fakta yang mempunyai kaitan dengan fakta yang lain dalam sesuatu kes
  • Sumpah
Sumpah ini pula bermaksud salah satu pihak yang bertikai mengukuhkan keterangan dengan menyebut nama Allah S.W.T atau sifat-sifat Allah S.W.T

Salah faham terhadap hukuman Islam


Inilah perkara yang berlaku pada hari ini dan harus diperbetulkan segera sebelum terlambat. Sekiranya hal ini berlaku kepada musuh-musuh Islam, kita boleh terima. Akan tetapi hal ini berlaku dengan sangat berleluasa dalam kalangan umat Islam sendiri. Hal ini terjadi kerana musuh-musuh Islam berjaya menyuntik pemikiran yang salah kepada umat Islam pada hari ini. Antara benda yang menjadi pertikaian mengenai hukum Allah ini ialah :
  • Hukuman Islam Zalim
Sedarlah bahawa hukum Islam ini tidak melihat kepada beratnya hukuman tetapi melihat kepada betapa kejinya kesalahan dan kesan buruk yang akan berlaku kepada masyarakat sekiranya ianya dibiarkan. Contohnya Zina yang dihukum dengan hukuman Hudud. Sekiranya tidak dilaksanakan hukuman Hudud, nescaya ianya akan merosakkan keturunan. Lihat sahaja apa yang berlaku pada hari ini. Anda semua boleh memikirkannya.
  • Ianya tidak sesuai dilaksanakan
Akan timbul kata-kata seperti "Ianya sudah lapuk", "Tidak sesuai dilaksanakan dalam negara yang berbilang kaum", dan "hukum ini sudah ketinggalan zaman". Astaghfirullah, bertaubat dan sedarlah bahawa Islam ini adalah agama yang syumul dan sesuai dilaksanakan pada setiap masa, keadaan, dan tempat. Hukum Islam ini datangnya daripada Allah S.W.T iaitu Tuhan yang menciptakan manusia melalui Al Quran yang kekal sehingga hari Qiamat. Mustahil bagi Allah S.W.T untuk tidak mengetahui mengenai apa yang terbaik bagi hamba-Nya kerana Dialah pencipta manusia. 

Sahabat-sahabat sekalian, sedarlah bahawa kita selaku manusia akhir zaman ini hanya diberikan tiga tugas utama di dunia ini iaitu beribadah kepada Allah S.W.T, menjadi khalifah di muka bumi, dan menyambung tugas para anbiya. Bagaimana kita mahu melaksanakan ketiga-tiga tugas utama ini sekiranya kita memperlekehkan hukum yang ditentukan oleh pencipta kita sendiri ? Hukuman Allah S.W.T ini bukanlah saja-saja diadakan. Ianya mempunyai hikmah yang tersendiri. Antara hikmah tersebut ialah :

  • Sebagai pencegahan agar maksiat itu tidak dilakukan
  • Sebagai pencegahan agar maksiat itu tidak diulangi sama ada kepada si pelaku ataupun orang lain
  • Sebagai pembalasan atas apa yang telah dilakukannya
  • Memberi pembelaan dan keadilan kepada mangsa ataupun waris mangsa
  • Ianya juga sebagai langkah ataupun cara pemulihan kepada si pelaku maksiat
  • Ianya juga menjadi bentuk pendidikan kepada si pelaku agar ia bertaubat ataupun kepada orang lain untuk menyedarkan manusia bahaya maksiat itu sangat keji tarafnya.
Lihat sahaja hikmah yang ana senaraikan, ini baru sedikit. Banyak lagi yang ana tidak dapat senaraikan atas dasar kelemahan dan kecetekkan ilmu pada diri ini. Sebagai penutup tirai kali ini, marilah kita bersama-sama muhasabah kembali diri kita, adakah kita benar-benar yakin terhadap kewujuddan Allah S.W.T? Adakah kita benar-benar yakin terhadap kerasullan Nabi Muhammad S.A.W? Adakah kita benar-benar yakin terhadap Islam yang syumul ini? Sekiranya kita yakini segalanya, mengapa kita tidak meyakini segala hukum yang ditetapkan oleh agama Islam? Fikir-fikirkan saudaraku. Jangan sampai kita tergolong dalam golongan Kafir. Wallahu A'lam.

Kewajaran perlaksanaan Hudud menurut artis tempatan

3 ulasan:

  1. Salam.

    Terima kasih dengan perkongsian info di atas..alhamdulillah sedikit sbyk mmbantu sy memahami kekeliruan yg bersarang =)

    sy yakin ramai sebenarnya yg menyokong hukum hudud ini, tetapi dek kerana kita hnya rakyat biasa..siapa la kita utk suara kita didengari..
    pemimpin kita sendiri pun lantang melontarkn penolakan..kta kini kaku dibawah telunjuk pemimpin yg mungkin dangkal agama. Maaf mungkin sy agak kasar.

    hari ni di maktab, ustazah sy pun ada bincang hal huhud ini. dan sy buat kesimpulan, sikap pemimpin pada akhir zaman ini memang tambah menyusutkan fikiran kita..

    maaf pnjg pula celoteh sy dilaman saudara. smga ada berita baik mengenai persoalan hudud ini. dan seperti yg saudara ktakan..smg kta tidak tergolong dlm golongan yg kafir. Wassalam.

    BalasPadam
  2. Salam.. Syukran kerana melontarkan komentar yang membina kepada diri ini.. Semoga Allah merahmati kita semua..

    BalasPadam
  3. Sama2 =)..perkongsian ilmu itu menambahkan ilmu..walau sedikit cuma tapi sangat bermakna..
    InsyaALLAH smg semuanya dirahmati..

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...