Firman Allah S.W.T

"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tidak mempunyai seorang penolong pun selain Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan"
-Surah Hud :113-

PERKARA YANG MEMBATALKAN SYAHADAH

Setiap syahadah itu haruslah diakui terutamanya bagi orang bukan Islam yang baru memeluk agama Islam. Lidahnya hendaklah mengucapkan penyaksian itu sama ada dalam bahasa arab ataupun bahasanya sendiri dengan lafaz:

أشهد أن لا إله إلا الله وأشهد أن محمدا رسول الله

Pengakuan dalam hati terserah kepada hati masing-masing dan Allah Taala sahaja yang mengetahui segala-galanya. Islam hanya boleh mengukur perkara yang zahir sahaja. Apabila seseorang itu telah mengucapkan dua kalimah syahadah, maka dia telah dianggap sebagai seorang muslim.

Oleh itu, apabila seseorang telah melafazkan kalimah syahadah, maka dia hendaklah mengerjakan segala apa yang diakui lidahnya itu. Seseorang itu hendaklah mengerjakan segala suruhan dan meninggalkan segala apa yang dilarang oleh Allah Taala. Jika disebut sahaja tetapi tidak diamalkan, maka syahadahnya itu dianggap tidak sah.

Antara perkara yang boleh menyebebkan seseorang itu terbatal syahadahnya ataupun menjadi murtad ialah dia sujud atau tunduk kepada berhala ataupun lebih dikenali sebagai syirik iaitu menyekutukan Allah Taala secara sukarela ataupun pilihan sendiri. Sekiranya ianya bukan pilihan sendiri ataupun secara paksaan, maka syahadahnya itu tidak terbatal selagi mana dia masih berpegang teguh dalam hatinya.

Selain syirik, perbuatan menghina atau memperkecil-kecilkan sesuatu yang dimuliakan oleh agama seperti nama-nama Allah Taala yang mulia, sifat-sifat Allah, Al-Quran, hadis rasulullah, hukum syarak, rasul-rasul, dan sebagainya juga boleh membatalkan syahadah seseorang.

Meniru atau mengucapkan sesuatu ucapan kekafiran yang kebiasaannya apabila orang mendengar ucapan itu, orang menyangka ia telah kafir, maka ianya telah dianggap sebagai kafir dan syahadahnya terbatal. Selain itu, sekiranya dia secara terang-terangan mengatakan yang dirinya telah keluar dari Islam ataupun menjadi kafir, maka dia telah menjadi kafir sekiranya itu adalah pilihannya sendiri.

Selain itu, perbuatan lain yang boleh menyebabkan terbatalnya syahadah seseorang ialah dia mengatakan yang wajib itu sebaliknya. Begitu juga sekiranya ada yang mengatakan yang haram itu halal dan sebaliknya, maka dia telah membatalkan syahadahnya sendiri.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 217:






217. mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang Dalam bulan Yang dihormati; katakanlah: "Peperangan Dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepadaNya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjid Al-Haraam (di Makkah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah. dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang Dalam bulan Yang dihormati). dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari ugama kamu kalau mereka sanggup (melakukan Yang demikian); dan sesiapa di antara kamu Yang murtad (berpaling tadah) dari ugamanya (ugama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang Yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).


Kesimpulannya, setiap orang yang telah melafazkan syahadah, wajiblah baginya mentaati segala perintah dan meninggalkan segala larangan atau tegahan yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...