Firman Allah S.W.T

"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tidak mempunyai seorang penolong pun selain Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan"
-Surah Hud :113-

KONSEP SYAHADAH


أشهد أن لا إله إلا الله وأشهد أن محمدا رسول الله

“Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah”.

Tiada nilainya segala bentuk kemewahan dan kesenangan duniawi ini tanpa pengabdian dan kepatuhan terhadap Allah Taala dan Rasulullah S.A.W. Oleh itu sesuailah Islam nenetapkan syahadah sebagai teras atau tunjang keislaman yang perlu diucapkan, diimani, dihayati, diambil pengajaran, dan diamalkan selama mana seseorang itu melayari bahtera hidup di bumi Allah Taala yang sementara ini.


Jika diikutkan, kanak-kanak yang telah cukup umur atau lebih dikenali sebagai baligh serta sempurna akal atau mukallaf, mereka sepatutnya diajarkan dua kalimah syahadah dengan intipati yang terdapat dalam syahadah ini serta didorong melakukan amalan kebaikan dan semua ibadah yang wajib seperti solat dan puasa serta meninggalkan segala larangan Allah Taala. Ibu bapa seharusnya mengambil peranan untuk menjayakannya. Begitulah juga keadaannya bagi seseorang yang baru memeluk Islam. Syahadah bererti penyaksian atau pengakuan seseorang terhadap sesuatu. Apabila seseorang itu mengucapkan syahadah, bermaksud ia telah mengakui dengan lidahnya mengenai sesuatu perkara.

Dua kalimah syahadah ini harus difahami sedalam-dalamnya dan diterjemahkan ke dalam kehidupan setiap muslim. Hal ini kerana penghayatan yang mendalam akan mengukuhkan lagi keimanan serta kesedaran seseorang untuk melaksanakan tuntutan-tuntutan yang tersurat dan tersirat daripada dua kalimah syahadah ini.

Kalimah لا إله إلا الله merupakan satu kalimah yang memberi penafian kepada segala bentuk tuhan, kepercayaan, mahupun aqidah serta penyembahan pengisbatan bahawa hanya Allah tuhan sekalian alam.

Di dalam buku karangan Zulkifli Mohammad Al-Bakri, dijelaskan secara terperinci oleh Syeikh Abdul Rauf Sengkel untuk menunjukkan betapa pentingnya kalimah ini yang mana ia boleh menjadi satu ucapan zikir yang paling utama bagi seseorang yang ingin mendekatkan diri kepada Allah Taala. Abdul Rauf menggunakan pendekatan melalui ilmu kalam dan ilmu mantik serta ilmu hadith untuk membahaskan kalimah tersebut. Abdul Rauf mengambil kata-kata Sanusi r.a yang berbunyi:

“Ertinya tiada seorang pun yang kaya ia daripada segala yang lain daripadanya dan tiadalah seorang pun yang berkehendak kepadanya segala yang lain daripadanya melainkan kepada Allah hasilnya Allah jua yang kaya daripada segala yang lain daripadanya dan ia jua yang berkehendak kepadanya segala yang lain daripadanya dan masuk pula pada katanya ia daripada segala yang lain daripadanya itu sifat yang “jaiz” iaitu harus padanya berbuat segala mukmin atau meninggalkannya kerana jikalau wajib keatasnya demikian itu nescaya tiadalah ia dinamai kaya”
( Umdat al Muhtajin : 48 )

Petikan ini merupakan satu huraian yang menunjukkan Maha Kaya Allah Taala. Ianya melibatkan dua kenyataan. Pertama, lihat sahaja kepada 11 sifat yang menyebabkan Allah Taala layak dikatakan Maha Kaya iaitu “wujud, qidam, baqa’, mulhalafatuhu lil hawadith, qiamuhu bi nafsih, sama’, basar, kalam, dan mutakallimin”. Kedua, melalui kata-kata “kerana orang yang tiada sifat-sifat ini tidak dikatakan kaya” memberi pengukuhan kepada kenyataan yang pertama tadi.

Kalimah محمدا رسول الله merupakan satu pengakuan kepada kerasulan Nabi Muhammad S.A.W sebagai seorang rasul dan utusan Allah Taala. Harus diingatkan bahawa sekiranya kedua-dua bahagian syahadah tersebut tidak diikrarkan sekali gus serta diaplikasikan dalam kehidupan, maka syahadah ini tidak sah. Apabila syahadah yang merupakan tunjang utama kepada agama islam ini tidak sah, maka pada hakikatnya seseorang itu tidak dianggap memeluk agama islam. Persoalan yang timbul, bagaimana pula dengan orang yang anti-hadith ataupun yang tidak mempercayai kerasulan Nabi Muhammad tetapi mempercayai dan meyakini kewujudan Allah Taala?

Tujuan saya mengarang bukanlah untuk membincangkan mengenai keadaan orang-orang yang tidak memperakui rasulullah sebagai utusan Allah. Saya hanya ingin mengupas sedikit sebanyak mengenai konsep syahadah serta perkara-perkara yang boleh membatalkannya.

Selain menjadi tunjang agama, kalimah syahadah ini juga menjadi kunci agama islam. Sebab itu pada zaman rasulullah, sewaktu rasulullah mengutus Muaz Bin Jabal ke Yaman, Rasulullah memerintahkan Muaz agar menjadikan dakwah yang pertama sekali untuk dilakukan ialah menyeru mereka agar bersaksi iaitu mengakui bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah Taala dan nabi Muhammad itu sebagai pesuruh Allah.

Maksudnya sebagai pengakuan memeluk Islam, seseorang itu perlu mengucapkan dua kalimah ini sambil mengiktirafkan dengan hatinya. Bagi seseorang yang tidak boleh bercakap atau bisu, memadai baginya beriktikad dan menyakini kehendak dua kalimah ini dengan beriman bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah Taala dan Rasulullah itu pesuruh Allah Taala.

Antara tuntutan yang terdapat dalam kalimah syahadah ialah ianya harus dibuktikan dengan menunaikan lebihan rukun Islam iaitu solat lima waktu sehari semalam, berpuasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat bagi yang layak mengeluarkannya, dan menunaikan ibadat haji bagi yang berkemampuan. Selain itu, ianya harus dimurnikan dengan melakukan segala apa yang diperintahkan oleh Allah Taala seperti berbuat baik kepada ibu bapa dan meninggalkan segala yang dilarang Allah Taala seperti melakukan maksiat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...