Firman Allah S.W.T

"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tidak mempunyai seorang penolong pun selain Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan"
-Surah Hud :113-

Nukilan hidupku..


Kadang-kadang aku rasa ianya betul, tapi ada kalanya aku berasa tidak sedap hati. Betulkah apa yang aku lakukan ini? Atau ianya satu kesalahan yang didorongi oleh godaan syaitan yang sangat halus? Dengan segala kemusykilan yang aku miliki, aku mentelaah semula kitab-kitab karangan ilmuan Islam yang aku miliki. Dengan tujuan untuk mengetahui apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan mengumpat itu sendiri?






Menurut buku yang dikarang oleh Ustazah Najmah bt Jaafar, mengumpat ataupun "ghibah" boleh ditakrifkan sebagai suatu perbuatan yang membicarakan keaiban dan keburukan orang lain yang tidak disukainya sama ada dengan menyebut secara jelas atau secara isyarat.

Allah taala berfirman dalam surah Al Hujurat ayat 12:

يأيها الذين ءامنوا اجتنبوا كثيرا من الظن إن بعض الظن إثم ولا تجسسواولا يغتب بعضكم بعضا أيحب أحدكم أن يأكل لحم أخيه ميتا فكرهتموه واتقوا الله إن الله تواب 
رحيم


" Wahai orang-orang yang beriman! jauhilah banyak dari prasangka, sesungguhnya sebagian prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah ada di antara kamu yang menggunjing sabagian yang lain. Apakah diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertaqwalah kepada Allah, sungguh Allah maha penerima taubat, Maha Penyayang"

Rasulullah S.A.W bersabda,

عن ابي هريرة أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : أتدرون ما الغيبة؟ قالوا: الله ورسوله أعلم. قال: ذكرك أخاك بما يكره, قيل: أفرأيت إن كان في أخي ما أقول؟ قال: إن كان فيه ما تقول فقد اغتبته, وإن لم يكن فيه فقد بهته

Dari Abu Hurairah, katanya: Rasulullah SAW bersabda: " Tahukah kamu sekalian apa itu ghibah? " Mereka menjawab: " Allah dan rasul-Nya lebih tahu ". Lalu baginda bersabda: " Engkau menyebut nama saudaramu yang ia tidak suka untuk disebut ". Lalu ada yang bertanya: " bagaimana pendapat tuan jika pada diri saudaraku itu benar seperti yang dikatakan? " Baginda bersabda: " Jika benar seperti apa yang kamu katakan, maka kamu tetap dinamakan melakukan ghibah (menggunjing/mengumpat) dan jika ternyata tidak benar apa yang kamu katakan, maka kamu telah berdusta terhadap dirinya ".

Hadith diatas aku salin bulat-bulat dari kitab terjemahan Bulughul Maram dan ianya adalah hadith yang shahih martabatnya. Menurut kitab ini, ianya diriwayatkan oleh Muslim. Apabila selesai membacanya, maka dapatlah disimpulkan bahawa perbuatan ghibah itu adalah satu perbuatan keji dan ianya haram disisi agama Islam yang suci ini. Apabila kita membicarakan diri orang lain di belakangnya dan hal yang dibicarakan itu adalah sesuatu yang tidak disukainya, maka perbicaraan itu dinamakan mengumpat walaupun yang dibicarakan itu benar, ianya tetap dinamakan mengumpat dan kalau ianya tidak benar, maka ianya dinamakan dusta atau lebih dikenali sebagai fitnah.




Tapi ianya masih belum cukup untuk menjawab kemusykilan aku. Begini ceritanya. Aku pernah berbincang dengan sahabatku mengenai perbuatan buruk seorang lagi sahabatku yang lain. Aku lihat dia mempunyai ciri-ciri seorang yang baik walaupun aku belum mengenalinya lebih dalam lagi dan suatu hari aku agak terkejut serta terkesima apabila melihat dia tidak menjaga batas pergaulannya sesama insan di dunia fana ini lebih-lebih lagi sesama berlainan jantina. Bukan aku hendak memburuk-burukkannya di sini, aku tidak menyebut namanya pun. Sekadar ingin berkongsi kegelisahan kepada kamu semua. Tetapi jikalau kamu merasakan ianya adalah salah satu cabang ghibah, harap dapat menghubungi aku dengan kadar yang segera.

Kembali kepada kisah sahabatku itu. Aku pendekkan ceritanya. Suatu hari ketika kami mengadakan satu majlis, seorang perempuan datang ke tempat kami bersantai sambil bersidang ( berbual kosong ) secara berdiri kerana kerusi tidak disediakan dan perempuan itu bergurau senda dengan kami. Tidak lama selepas itu, dia mula menarik-narik tangan sahabatku. Kalau sesama jantina tidak apa. Ini tidak. Sahabatku lelaki, dia perempuan.

Memang sahabatku memakai pakaian berlengan panjang, dari itu kulit mereka tidak akan bersentuhan, tetapi pada pandanganku ianya buruk. Dan apa yang lebih mengejutkan aku, sahabatku itu hanya berdiam diri, tidak menunjukkan reaksi suka atau benci. Ada juga aku lihat mukanya berubah seakan-akan tidak menyukainya tetapi perbuatannya yang hanya berdiam diri itu menjadikan diriku binggung samada dia benci atau tidak.

Yang menjadi permasalahan disini bukanlah perbuatan sahabatku itu. Ataupun perempuan yang menarik tangan sahabatku itu, tetapi apa yang hendak dikongsikan ialah adakah perbuatan aku yang berbincang sesama sahabat-sahabatku mengenai perbuatan buruknya itu sebelum kami mengambil keputusan untuk menegurnya itu juga dianggap sebagai ghibah? Inilah permasalahan utama yang ku miliki.

Selepas kejadian ini, sekali lagi aku menyibukkan diri mencari rujukan mengenai cara menegur seseorang. Maksudnya aku mencari rujukan-rjukan yang lebih berhubung kait dengan adab menegur. Mana tahu ianya akan memberikan sedikit input yang berguna kepadaku. Tapi aku tidak mahu masukkannya dalam artikel ini. Tunggu sambungannya pada artikel akan datang. = )

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...