Firman Allah S.W.T

"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tidak mempunyai seorang penolong pun selain Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan"
-Surah Hud :113-

Dakwah satu tuntutan - Bahagian 1

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم سموا

Merujuk kepada Web Wikipedia, sebuah ensiklopedia bebas, dakwah kebiasannya membawa maksud mengajak kepada Islam. Bahasa Arab دعوة  bermakna secara harfiah ataupun etimologis ialah "menyeru" atau "mengajak".Pandangan para ulama mengenai pengertian dakwah dari sudut terminologis pula ialah dakwah merupakan satu program yang lengkap, yang mana kesemua peringkatnya terselit  ilmu-ilmu pengetahuan yang menjadi satu keperluan kepada manusia bagi menjelaskan tujuan dan matlamat hidup dan bagi menyingkap panduan jalan yang menjadi petunjuk kepada mereka. Ini adalah merupakan pandangan Muhammad al-Ghazali. 


Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi pula, definisi dakwah adalah sebagai satu usaha membawa orang lain kepada agama Islam, supaya mengikut petunjuk agama ini, melaksanakan segala ketetapannya di muka bumi ini, mengkhususkan segala bentuk perhambaan diri, permohonan dan taat kepada Allah sahaja, melepaskan diri dari segala kongkongan yang bukan daripada Allah yang terpaksa dipatuhi, memberi hak kepada orang lain yang ditentukan hak oleh Allah, menyeru kepada kebaikan dan mencegah segala kemungkaran, dan bejihad pada jalan-Nya. 

Adam Abdullah al-Auri dalam kitabnya Tarikh al-Dakwah al-Islamiyah baina al-Ams ila al-Yaum menjelaskan bahawa dakwah ialah memalingkan pandangan dan pemikiran manusia kepada pandangan dan pemikiran yang berdasarkan akidah, kerana dakwah merupakan satu seruan bagi menyelamatkan manusia daripada kesesatan yang hampir-hampir mereka terjerumus kedalamnya. 

Dr. Abu al-Majd al-Sayyid Nawfal menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan dakwah itu ialah usaha golongan yang mempunyai kemampuan memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada sasaran untuk membawa mereka kepada Islam dan menjauhkan mereka daripada kepercayaan selain kepada Allah dengan cara-cara tertentu.

Dr. Ra’uf Shalabi menerangkan bahawa dakwah Islamiah itu ialah gerakan membawa atau mengubah masyarakat daripada keadaan kekufuran kepada keadaan keimanan, daripada keadaan kegelapan kepada keadaan cahaya dan daripada keadaan sempit kepada keadaan lapang, di dunia dan di akhirat.

Kesimpulannya bahawa dakwah itu merupakan satu usaha seseorang atau berkumpulan untuk menyeru manusia dengan menggunakan beberapa pendekatan tertentu untuk membawa manusia kepada keredhaan Allah. Sebagaimana yang diterangkan oleh Ustaz Azhar Idrus dalam satu ceramahnya yang mana beliau mengatakan bahawa dakwah itu merupakan satu perbuatan yang membawa kepada sukanya seseorang itu kepada Islam. Dakwah itu bukanlah seban ataupun hijab semata-mata. Hal ini saya selitkan di sini kerana ramai yang beranggapan bahawa tugas untuk berdakwah itu hanya dipikul oleh orang-orang yang memakai serban dan hijab sahaja, malahan ada yang membuat pengkategorian dimana hanya insan yang bergelar ustaz dan ustazah sahaja yang layak menjalankan gerak kerja dakwah. 



Semua ini harus dimurnikan semula agar umat Islam pada hari ini lebih kuat kerana kita sedia maklum apabila sesuatu pekerjaan itu dilakukan secara berkumpulan, ataupun dalam erti kata lain secara berjemaah, maka pekerjaan itu pastinya akan lebih berjaya dan muda-mudahan ianya mendapat pertolongan daripada Allah sebagaimana firman Allah Taala dalam surah As Saff ayat ke-4:

 إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوصٌ

Maksudnya :  “Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...