Firman Allah S.W.T

"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tidak mempunyai seorang penolong pun selain Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan"
-Surah Hud :113-

Siapa Wahabi - Bahagian 4


بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم سموا
Kali ini ana akan berkongsi beberapa maklumat yang ana dapati daripada beberapa pembacaan menerusi internet dan beberapa buah buku berkenaan permasalahan yang berlaku sehingga gerakan Wahabi ini dianggap menyimpang daripada jalan kebenaran. Menerusi buku karangan Syaikh Idahram, saya mendapati bahawa ada 3 isu utama yang dibangkitkan oleh aliran dakwah salafi ini iaitu :
Permasalahan berkenaan tawassul dengan para nabi, wali, dan orang-orang soleh. Demikian juga dengan mentaqdiskan kubur dan pusara, bahkan kepada pokok-pokok dan batu-batu untuk memohon istighathah dan membayar nazar padanya dengan beriktikad bahawa ia akan dapat memberikan kebaikan dan menolak keburukan serta menjauhkan kejahatan.
Perkara sedemikian telah menakutkan Muhammad bin Abdul Wahab kerana ianya telah sampai ke negerinya hingga ke tahap yang lebih serius berkaitan kejahilan dan keterlampauan pada pengamalan perkara-perkara tersebut.
Permasalahan ini lebih tertumpu kepada penolakkan Muhammad bin Abdul Wahab dan pengikutnya terhadap konsep pentakwilan kandungan ayat suci al Quran berkenaan zat dan sifat Allah Taala seperti kalimah tangan dan kaki yang disebutkan di dalam al Quran. Demikian juga dengan penetapan mereka terhadap arah kedudukan Allah Taala seperti keberadaan Allah Taala di Arasy dan langit.
Dua permasalahan tersebut merupakan masalah utama yang diitimbulkan oleh fahaman Wahabi ini.  Namun apabila melihat konteks apa yang berlaku di dalam negara kita pada hari ini, terdapat beberapa lagi permasalahan yang berlaku yang dibawakan oleh individu-individu yang berfikiran menggunakan aliran Wahabi ini.
Sebagai contoh, apa sahaja perbuatan yang tidak pernah dilakukan oleh Nabi Muhammad dikira sebagai perbuatan yang menyalahi agama dan dilabelkan terus sebagai perbuatan yang bid’ah.  Walaupun mengikut aliran mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah, bid’ah ini boleh dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu Bid’ah Hasanah dan Bid’ah Dholalah, namun mengikut aliran Wahabi ini, segala perbuatan bid’ah adalah haram sebagaimana sabda Nabi Muhammad yang diriwayatkan oleh Muslim:
وكل بدعة ضلالة، وكل ضلالة في النار
Maksudnya : “Setiap bid'ah itu adalah sesat, dan setiap yang sesat itu adalah di dalam neraka”
Rentetan daripada permasalahan-permasalahan di atas, berlaku satu lagi masalah yang mengakibatkan berlakunya perpecahan umat Islam di antara mereka yang berfikiran dengan kefahaman Wahabi dan juga Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu isu kafir mengkafirkan sesama Islam itu sendiri.  Semua permasalan ini akan cuba saya huraikan sedikit sebanyak pada bab seterusnya.

1ISU TAWASSUL
Menerusi buku karangan Zulkifli Mohammad al Bakri, tawassul adalah satu perbuatan untuk memohon daripada Allah Taala secara langsung serta meminta syafaat daripada Allah Taala dengan apa atau siapa yang disukai Allah Taala.  Justeru, Allah Taala sahajalah tempat memohon dan meminta pertolongan.
Tawassul ada yang disepakati oleh para ulama dan ada yang ditolak.  Tawassul yang disepakati oleh ulama akan keharusannya ialah:
  • Tawassul dengan nama Allah Taala dan sifatNya
  • Tawassul dengan amal soleh
  • Tawassul dengan doa orang soleh
Tawassul melalui cara-cara di atas telah disepakati oleh para ulama dan tidak ada ulama yang mempertikainya. Adapun jenis tawassul yang ditolak ialah bertawassul kepada Allah Taala dengan kemuliaan atau kemegahan zat salah seorang dari hambaNya. Contohnya bertawassul dengan zat Nabi atau mana-mana orang soleh untuk memohon suatu hajat dari Allah Taala. Para ulama dalam menjelaskan hukum tentangnya ada beberapa pandangan.
Pandangan yang mengharamkan secara keseluruhannya itulah pandangan Imam Ibnu Taimiyyah, Syeikh Nasiruddin al-Albani, Syeikh Bin Baz dan yang sealiran dengan mereka.  Mereka ini adalah orang-orang yang beraliran pemikiran Wahabi
Mereka berpandangan tawassul sedemikian adalah tidak harus dan bid’ah kerana tidak disebut oleh al Quran dan tidak pernah diamalkan oleh Nabi Muhammad. Menurut mereka, hadis-hadis yang ada menyebutkan tentang tawassul sahabat dengan Nabi Muhammad adalah tawassul dengan doa baginda, bukan dengan zatnya.
Menurut Imam Ibnu Taimiyyah, lafaz tawassul dikehendaki maknanya dengan tiga perkara iaitu :
  • Pertama : Bertawassul kepada Allah Taala dengan cara beriman kepada Rasulullah s.a.w. dan mentaati baginda. 
  • Kedua : Bertawassul dengan doa dan syafaat baginda
Kedua-dua bentuk tawassul di atas telah disepakati keharusannya oleh ijma’ ulama.  Siapa mengingkarinya ia adalah kafir dan murtad. Ia diminta supaya bertaubat. Jika enggan bertaubat, hendaklah dibunuh.
  • Ketiga : tawassul dengan makna bersumpah kepada Allah Taala dengan zat Nabi Muhammad. atau memohon kepada Allah Taala dengan zat baginda.
Tawassul yang ketiga ini tidak pernah dilakukan oleh para sahabat sama ada ketika baginda masih hidup atau setelah baginda wafat, sama ada di sisi kubur baginda atau di sisi kubur orang lain. Ini adalah antara hujah aliran Wahabi mengenai usul ini.
Menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah, bertawassul dengan Nabi Muhammad jika dengan makna mencari wasilah ataupun jalan kepada Allah Taala dengan cara beriman kepada Nabi Muhammad dan mentaatinya atau dengan makna memohon hajat kepada Allah Taala dengan doa dan syafaat baginda maka tawassul sebegini adalah harus dengan ijma’ para ulama.
Hal ini juga dijelaskan oleh Imam Hasan al Banna, “Berdoa jika diiringi dengan bertawassul kepada Allah Taala dengan salah seorang dari makhluknya merupakan perkara khilaf dalam masalah furu’ dalam cara berdoa dan ia bukan tergolong dalam masalah-masalah aqidah”.

2.  ISU TAKWIL
Para ulama telah berbeza pendapat dalam memberikan definisi takwil. Ulama terdahulu berpendapat bahawasanya takwil mempunyai pengertian yang sama dengan tafsir. Manakala takwil menurut ulama kontemporari adalah memalingkan serta menentukan beberapa makna yang mungkin terkandung di dalam ayat al Quran yang mempunyai pelbagai makna.
Dari segi bahasa, perkataan takwil berasal daripada perkataan الأول yang bererti  الرجوع(kembali), iaitu para mufassir mengembalikan ayat kepada
maknanya.  Sebagaimana firman Allah Taala dalam surah an Nisa ayat 59 :
Maksudnya : Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.
Dari sudut istilah, menurut al Jurjani perkataan takwil membawa pengertian memalingkan lafaz daripada makna yang zahir kepada makna yang tidak berlawanan dengan al Quran dan as Sunnah.
Takwil merupakan satu perkara yang berkaitan dengan nas mutasyabih dimana para ulama salaf mengatakan bahawa nas mutasyabih tidak boleh ditakwil manakala ulama khalaf membenarkannya.  Aliran pemikiran Wahabi ini juga mengambil langkah yang sama seperti ulama salaf sehinggakan mereka mentakwilkan sesuatu perkara ataupun nas mutasyabih ini kepada sesuatu yang berbentuk zat Allah Taala. 
Contohnya seperti perkataan tangan Allah Taala.  Menurut mereka, pengertian yang dibawa melalui perkataan tersebut adalah betul-betul tangan yang dimiliki oleh Allah Taala.  Perkara ini bermakna mereka menyakini bahawa Allah mempunyai tangan tapi mungkin tidak serupa dengan tangan manusia.
Berbeza dengan ulama khalaf yang mana mereka mentakwilkan perkataan tangan Allah Taala tersebut sebagai kekuasaan Allah Taala.  Demikian juga dengan perkataan-perkataan lain seperti wajah Allah Taala, bersemanyam, dan lain-lain.

3.  ISU BID’AH
Perkara ini turut memberikan kesan yang amat mendalam kepada kehidupan umat Islam pada hari ini.  Kesan terburuk yang berlaku akibat percangahan perkara bid’ah ini adalah sehingga menyebabkan mulanya perpecahan umat Islam dan berlakunya pergaduhan sesama Islam itu sendiri.
Sebagai contoh, di Malaysia kita menyambut Maulidurrasul dan juga meraikannya dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan dan lain-lain acara. Para ulama membenarkan perkara ini namun apabila munculnya aliran pemikiran Wahabi, mereka menolak perkara ini dan mengeluarkan kenyataan bahawa barangsiapa yang meraikannya dianggap telah melakukan perkara bid’ah dan menurut mereka, bid’ah merupakan perkara yang haram untuk dilakukan walaupun daripada sudut pandangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, bid’ah itu terbahagi kepada dua bahagian sebagaimana yang telah saya nyatakan sebelum ini.
Selain daripada itu, bacaan qunut, berzikir dan berdoa secara beramai-ramai selepas solat, melagukan bacaan al Quran, dan sebagainya juga ditolak oleh aliran pemikiran Wahabi ini.  Apabila mencaai satu tahap yang kritikal, golongan yang dituduh melakukan bid’ah ini akan mula mempertahankan diri dan golongan yang menuduh ini pula akan terus mendesak sehinggalah mencapai tahap klimaks dimana kedua-dua kelompok ini akan mula bertengkar, bergaduh dan mula untuk tuduh-menuduh serta kafir mengkafirkan.

4.  ISU KAFIR MENGKAFIR
Sebagaimana yang telah dinyatakan diatas, isu ini boleh bermula daripada isu bid’ah yang berlaku.  Selain itu, permasalahan tawassul dan takwil juga menyebabkan permasalahan ini berlaku.  Pergaduhan yang tercetus akibat ketidaksefahaman dan ketaksuban kedua-dua pihak akan mula mengakibatkan golongan Wahabi menuduh Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai kafir sedangkan dalam Islam, perbuatan yang dilakukan itu dibenarkan.
Isu kafir mengkafirkan ini boleh merebak menjadi lebih teruk sehinggakan golongan Wahabi ini menjadi lebih agresif dan radikal dan mula bertindak lebih kejam dengan membunuh Ahli Sunnah Wal Jamaah atas dasar sesiapa yang melakukan tawassul, takwil, bid’ah, dan lain-lain perkara yang tidak sealiran dengan mereka itu boleh dibunuh kerana darah mereka menjadi halal untuk diambil.

4 perkara yang ana sentuh di atas hanyalah sebahagian perkara yang dibawa oleh aliran Wahabi ini. Sejauh mana kebenaran perjuangan mereka ini, biarlah kita serahkan kepada Allah Taala untuk menilai. Artikel ini bukanlah bertujuan untuk memburukkan mana-mana pihak, akan tetapi biarlah yang telah membaca menilai semula persepsi masing-masing. Semoga semuanya memberi manfaat kepada semua.

Wallahu a'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...