Firman Allah S.W.T

"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tidak mempunyai seorang penolong pun selain Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan"
-Surah Hud :113-

Siapa Wahabi - Bahagian 5 (Akhir)


بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم سموا
Berikut merupakan beberapa orang tokoh yang dikatakan sebagai golongan Wahabi : 
1.  Muhammad bin Abdul Wahab

Seperti yang sedia maklum, Muhammad bin Abdul Wahab merupakan pelopor utama dan juga boleh dikatakan sebagai pengasas kepada aliran pemikiran Wahabi ini. Secara ringkasnya, antara penyimpangan yang dilakukan oleh Muhammad bin Abdul Wahab ini adalah mudah mengkafirkan orang lain, melakukan persetongkolan demi kekuasaan, memerangi umat Islam dan mendakwanya sebagai ghanimah dan masih banyak lagi penyimpangan yang lain.


Muhammad bin Abdul Wahab mengharuskan setiap pengikutnya untuk berhijrah ke Najd. Orang pertama yang membongkar kekeliruan fahamannya dalam masalah hijrah ini adalah saudara kandungnya sendiri, Sulaiman ibnu Abdul Wahab dalam kitabnya ash Shawa’iq al Muhriqah.  Muhammad bin Abdul Wahab mengkafirkan beberapa golongan sebagaimana yang ada termaktub dalam kitab karangan yang bertajuk ad Durar as Saniyyah fi al Ajwibah an Najdiyah iaitu :

  • Orang yang mengetahui ajaran tauhid yang dia bawa tetapi tidak mengikutinya.
  • Orang yang mengetahui ajaran tauhid tetapi malah mencacinya.
  • Orang yang mencintai dirinya, tetapi membenci para pengikutnya.
  • Orang yang menerima ajaran tauhid tetapi tidak berhijrah dari negerinya ke negeri tauhid (Najd).

Mufti Mekah, Syaikh Ahmad Zaini Dahlan dalam kitabnya ad Durar as Sanniyyah mengatakan bahawa Muhammad bin Abdul Wahab melarang umat Islam berselawat ke atas Nabi Muhammad bahkan sampai tahap membunuh orang yang berselawat ke atas Nabi Muhammad. Perkara ini dapat dibuktikan dengan pembunuhan yang dilakukan ke atas seorang muazzin yang buta selepas selesai dia mengumandangkan azan kerana dia berselawat ke atas Nabi Muhammad seusai melaungkan azan.


Klik untuk maklumat tambahan
Muhammad bin Abdul Wahab memerintahkan lelaki tersebut dibunuh dan mengeluarkan kenyataan yang berbunyi :

“Sesungguhnya dosa seorang pelacur lebih ringan berbanding dosa seorang yang berselawat kepada Nabi Muhammad di atas menara”

Berburu ke padang datar, dapat rusa berbelang kaki. Berguru kepalang ajar, dapat bunga kembang tak jadi. Anak murid Muhammad bin Abdul wahab yang bernama Hisam al Aqqad dalam bukunya Halaqat Mamnu’ah ada menyatakan bahawa sesiapa yang bersalawat ke atas nabi misalnya berselawat seribu kali, sepuluh ribu kali, atau seratus ribu kali dianggap kafir. Selain itu, dia juga mengkafirkan umat Islam yang banyak berzikir dengan mengucapkan kalimah “La ilaha illallah ” terlalu banyak seperti seribu kali.

Muhammad bin Abdul Wahab melarang para murid dan pengikutnya untuk membaca kitab-kitab tafsir, feqah, hadis dan memerintahkan agar semua kitab tersebut dibakar. Beliau juga mengingkari keberadaan ilmu nahwu dan ilmu lughah dengan mengatakannya sebagai bid’ah bahkan beliau mengajak pengikut-pengikutnya untuk menafsirkan ayat-ayat al Quran sesuai dengan pemahaman masing-masing tanpa perlu melihat kepada ilmu saraf, bayan, dan mantiq.

Beliau juga mewajibkan pengikutnya untuk bersaksi atas kekafiran umat Islam. Perkara ini terbukti bahawa apabila seseorang hendak memeluk Islam ataupun menegaskan kalimah syahadahnya, setelah ia selesai mengucapkan kalimah syahadah, orang tersebut hendaklah membenarkan kata-kata Muhammad bin Abdul Wahab iaitu :

“Bersaksilah atas dirimu bahawa kamu sebelumnya kafir, bersaksilah atas kedua orang tuamu bahawa keduanya mati dalam keadaan kafir. Bersaksilah atas fulan bin fulan (ulama tersohor dahulu) bahawa mereka semua adalah kafir”

Seandainya orang yang masuk Islam itu bersetuju dengan pengakuan tersebut, maka keIslamannya diterima. Namun andai seseorang itu menolaknya, maka dia akan diperintahkan untuk dibunuh.

Muhammad bin Abdul Wahab juga merasakan dirinya lebih baik daripada Nabi Muhammad sepertimana yang dituliskan dalam kitab ad Durar as Saniyyah yang menyebutkan bahawa Muhammad bin Abdul Wahab berkata :

“Aku berpendapat bahawa dalam perdamaian Hudaibiyah seharusnya Nabi Muhammad begini dan begini”

Sikap buruknya itu juga ditiru oleh anak muridnya bahkan mereka menjadi lebih teruk sehingga satu tahap dimana pengikut-pengikutnya ini menyamakan Muhammad bin Abdul Wahab seperti Nabi Muhammad dengan mengatakan bahawa peristiwa percubaan membunuhnya ini seperti peristiwa cubaan pembunuhan Nabi Muhammad, hijrahnya sama seperti hijrah ke Madinah, serangan mereka terhadap kaum muslimin sebagai jihad, peperangan mereka dengan umat Islam sebagai peperangan mempertahankan Islam daripada musuh Islam, kemenangan mereka seperti pembukaan Kota Mekah, dan orang yang mengikut mereka digelar muslim manakala yang tidak sealiran dengan mereka dilabel sebagai kafir.

Selain itu, beliau juga menyamakan orang-orang kafir dengan umat Islam dengan menyatakan bahawa kaum kafir Quraisy beribadah kepada Allah Taala siang dan malam sebagaimana yang ditulis dalam kitabnya Kasyfu asy Syubuhat.  Menerusi buku yang sama, beliau juga mengkafirkan orang-orang yang menggunakan perkataan “Sayyid”.



2Ibnu Taimiyah

Ibnu Taimiyah lahir pada tahun 1263 di Harran, Turki di dalam keluarga yang disegani dengan keilmuannya. Datuk beliau, Abu al Barkat Majd ad Deen ibn Taymiyah al Hanbali meninggal dunia pada tahun 1255, adalah seorang guru terkenal dalam mazhab Hanbali. Bapa Ibnu Taimiyah, Shihabuddeen Abd al-Haleem ibn Taymiyyah (meninggal dunia pada tahun 1284, juga dikenali dengan pencapaiannya ilmunya yang membanggakan.

Apabila tentera Mongol masuk menceroboh, keluarga Ibnu Taimiyah berpindah ke Damsyik, Syria pada tahun 1258 yang pada masa itu diperintah oleh kerajaan Mamluk yang berpusat di Mesir. Di Damsyik, bapanya menyampaikan kuliah agama di Masjid Umayyad dan Ibnu Taimiyyah mengikut jejak bapanya dengan belajar dari sarjana Islam terulung pada masa itu.

Ibnu Taimiyah adalah seorang pelajar yang rajin dan membiasakan diri beliau dengan ilmu agama dan sains pada zaman itu. Beliau juga memberi tumpuan khusus kepada sastera Arab dan berjaya menguasai nahu dan tatabahasa Arab serta matematik dan kaligrafi. Beliau mempelajari fiqah dari bapanya dan menguasai ilmu tentang al Quran dan Hadis. Beliau juga belajar mengenai ilmu kalam, falsafah, dan sufisme yang kemudiannya dikritik hebat oleh beliau.

Keberanian beliau terserlah ketika beliau bersama delegasi ulama mengadap Qazaan, seorang Khan Tartar, untuk memintanya menghentikan serangan ke atas orang Islam. Tiada seorang pun ulama yang berani berkata-kata kecuali Ibnu Taimiyah yang berkata:

"Kamu mendakwa kamu seorang Islam dan kamu mempunyai Mu'adhdhin, Mufti, Imam dan Sheikh tetapi kamu menceroboh kami dan datang ke negeri kami untuk apa? Walaupun bapa dan datuk kamu, Hulagu seorang kafir, mereka tidak menyerang dan mematuhi janji mereka. Kamu pula berjanji tetapi ingkar."

Kerana Ibnu Taimiya seorang yang berani dan mempunyai pendirian yang teguh, beliau telah dipenjarakan beberapa kali kerana bertentangan pandangan dengan ahli agama yang lain.

Pada awal tahun 1293 beliau berkonflik dengan pihak berkuasa tempatan kerana membantah hukuman agama ke atas seorang Kristian yang dituduh menghina Nabi Muhammad. Pada tahun 1298 beliau dituduh menyebar fahaman yang menyamakan sifat manusia ke atas Tuhan dan kerana mempersoalkan ilmu kalam.

Beliau mengetuai barisan pertahanan ketika pencerobohan Mongol ke atas Damsyik pada tahun 1300.  Pada tahun berikutnya, Ibnu Taimiyah berhadapan dengan polemik terhadap Syiah Kasrawan di Lebanon, aliran Sufi Rifa'i, dan aliran ittihadiyah yang berasal dari ajaran Ibnu Arabi, yang beliau anggap menyesatkan.

Pada tahun 1306, Ibnu Taimiyah dipenjara di Mesir selama 18 bulan kerana dituduh menyokong fahaman menyamakan sifat manusia ke atas Tuhan.  Beliau dipenjarakan kembali pada tahun 1308 untuk beberapa bulan.

Ibnu Taimiyah menghabiskan 15 tahun terakhirnya di Damsyik bersama murid-muridnya.  Seorang muridnya yang terkenal adalah Ibnu Qayyim.  Pada bulan Ogos 1320 sehingga Februari 1321, Ibnu Taimiyah dipenjarakan di Damsyik kerana menyokong doktrin mengenai talak iaitu talak tiga boleh dilakukan dengan satu talak.

Pada bulan Julai 1326, kerajaan Mesir sekali lagi mengarahkan beliau dipenjarakan kerana beliau terus mengutuk tradisi melawat kubur orang alim. Beliau meninggal dunia di dalam penjara di Damsyik pada malam Isnin 27 September 1328 ketika berumur 65 tahun.  Beliau dikebumikan di Damsyik berdekatan dengan kubur ibunya.

3.  Muhammad Nashiruddin al Albani

Muhammad Nashiruddin Ibnu Haji Nuh al Albani dilahirkan pada tahun 1333 Hijrah (1914 masihi) di Kota Ashkodera, Albania. Beliau berasal daripada keluarga yang serba kekurangan dan kemudiannya berhijrah ke Damsyik bersama bapanya untuk mencari kehidupan.

Sebelum beliau menjadi ulama yang terkenal, beliau adalah seorang tukang membaiki jam. Menurut pengakuan beliau sendiri, sebagaimana yang ditulis dalam buku karangan Syaikh Idahram, dia belajar hadis hanya dari membaca buku-buku tanpa berguru kepada seorang ahli hadis pun dan tiada sanad yang diakui dalam ilmu hadis. Sanadnya terputus dan ianya hanya merujuk kepada buku-buku yang di abaca sendiri tanpa bimbingan guru. Bahkan dia mengakui bahawa sesungguhnya dia tidak hafal sepuluh hadis pun dengan sanad yang sampai kepada Nabi Muhammad. Walaupun begitu, beliau berani menghukum suatu hadis sebagai shahih ataupun dhaif.

Namun, terdapat beberapa masalah yang berlaku pada diri Albani ini iaitu beliau merasa bahawa diri beliau lebih baik daripada Imam Bukhari, Imam Muslim, dan ulama hadis yang lain. Perkara ini dapat dibuktikan dengan menilai apa yang telah ditulis sendiri oleh Albani dalam kitabnya Shahih at Thayyib li Ibn Taimiyah iaitu :

“Aku nasihatkan kepada setiap orang yang membaca kitab ini atau kitab yang lain, untuk tidak cepat mengamalkan hadis-hadis yang ada di dalam buku-buku tersebut kecuali setelah benar-benar menelitinya.  Aku telah memudahkan jalan tersebut kepada kalian dengan komentar yang aku berikan.  Jika keteranganku ada, barulah diamalkan hadis itu dan menggigit gerahamnya.  Jika tidak, maka tinggalkanlah hadis-hadis itu”

Lihatlah bagaimana al Albani meletakkan dirinya sebagai ahli hadis mantap melebihi ulama hadis terdahulu. Dia melarang kita untuk mengamalkan hadis shahih daripada para imam yang mashur kecuali setelah diulas sendiri oleh Albani. Jika hadis tersebut dikatakan tidak shahih oleh Albani, maka tinggalkan hadis-hadis tersebut.

Selain itu, Albani juga terus mengkafirkan Imam Bukhari. Sebagaimana yang ditulis dalam kitabnya yang berjudul fatawa al Albani, ada seorang bertanya mengenai hakikat Imam Bukhari yang mentakwil firman Allah Taala dalam surah al Qasas ayat 88 (rujuk al Quran) :

Maksudnya : “Tiap-tiap sesuatu akan binasa melainkan zat Allah”

Perkataan “wajhah” dalam ayat tersebut ditakwilkan kepada “mulkuhu” iaitu kerajaan-Nya.  Kemudian orang itu bertanya kepada Albani mengenai pendapat beliau mengenainya. Albani pun menjawab :

“ Wahai saudaraku, takwilan ini tidak dituturkan oleh seorang muslim yang beriman ”

Albani juga turut melemahkan ribuan hadis shahih Imam Bukhari dan Imam Muslim dengan menyatakan beberapa hadis shahih yang telah dikumpulkan imam-imam ini sebenarnya adalah hadis dhaif sebagaimana yang dinyatakannya dalam kitab Dhaif al Jami wa Ziyadatuh dan Irwa al Ghalil.

Para ulama juga ramai yang mengatakan bahawa penguasaan bahasa Arab Albani berada ditahap yang lemah dan tidak seperti mana yang diagung-agungkan oleh pengikutnya. Sebagaimana yang telah disentuh sebelum ini, antara faktor yang membewa kepada kekurangan ini adalah Albani bukanlah seorang yang berasal daripada negara Arab. Antara bukti yang menyokong kelemahan beliau ini adalah sebagaimana hujah yang ditulis oleh Albani dalam kitabnya Shahih al Kalam at Thayib li Ibn Taimiyyah dan ianya telah dibetulkan oleh Syaikh Hasan as Segaf melalui kitabnya Tanaqudhat al Albani al Wadhihah.

Selain itu, Albani juga selalu menyatakan pendapatnya yang berlainan mengikut tempat dia berada seperti menshahihkan sesebuah hadis di sesebuah tempat dan kemudiannya mendhaifkan hadis yang sama di tempat yang lain. Albani juga dikhabarkan suka berbohong dan menipu. Perkara ini boleh dilihat ketika Albani membantah Syaikh al Ghimari yang mana beliau menyatakan bahawa Said ibnu Zaid adalah seorang yang cacat dan lemah. Namun ketika beliau memerlukan untuk menguatkan hadisnya, beliau akan mengatakan bahawa Said ibnu Zaid adalah orang yang boleh dipercayai.

Albani juga gemar untuk mencaci maki dan menyumpahi para ulama. Cercaan dan cacian yang dilakukan oleh Albani telah dirangkumkan dalam sebuah kitab yang bertajuk Qamus Syata’im al Albani setebal 206 muka surat yang dikarang oleh seorang ahli hadis Jordan yang bernama Syaikh Hasan ibnu Ali as Segaf.

Albani juga kerap mengeluarkan fatwa yang menyimpang seperti :

  • Menyerupakan Allah Taala dengan makhluk-Nya sebagaimana yang disebutkan dalam kitabnya Mukhtashar al ‘Uluw
  • Mengkafirkan orang yang bertawassul dan beristighatsah dengan para nabi dan orang-orang soleh sebagaimana yang disebutkan dalam kitabnya at Tawassul dan Fatawa al Albani
  • Mengkafirkan al Asya’irah dan al Maturidiyah yang menjadi asas kepada Ahli Sunnah wal Jamaah sebagaimana yang terdapat dalam kaset rakaman ceramahnya
  • Melarang umat Islam mengucapkan “Assalamualaika ayyuhan nabiyyu” dan menukarkannya kepada “Assalamu ‘alan nabiy” dalam solat sebagaimana yang ditulis dalam kitabnya Sifah Salat an Nabi
  • Mengharamkan umat Islam untuk mengunjungi sesamanya dan menziarahi orang yang telah mati di kuburnya sebagaimana yang dicatatkan dalam kitab Fatawa al Albani
  • Menyeru untuk menghancurkan al Qubbah al Khadlra’ dan menyuruh mengeluarkan makam Nabi Muhammad dari Masjid Nabawi sebagaimana yang disebutkan dalam kitabnya Tahdzir as Sajid min ittihadz al Kubur al Masajid
  • Mengharamkan umat Islam untuk berwuduk lebih daripada satu mud dan mandi lebih daripada lima mud.  Satu mud bersamaan dengan dua telapak tangan ukuran sederhana.  Perkara ini ditulis dalam Majallah at Tamaddun.
  • Mengharamkan para perempuan dari segala perhiasan yang diperbuat dari emas, sebagaimana yang ditulis dalam kitabnya adab az Zifaf.
  • Mengharamkan umat Islam mambawa tasbih untuk zikrullah sebagaimana dipaparkan dalam kitabnya Silsilah al Ahadis adh Dhaifah.
  • Mengharamkan solat terawih 20 rakaat sebagaimana dikatakan dalam kitabnya Qiyam Ramadhan.
  • Mengharamkan umat Islam melakukan solat sunat qabliyah Jumaat sebagaimana yang ditulis dalam kitabnya yang bertajuk al Ajwibah an Nafi’ah.

Itulah antara keperibadian Albani yang sangat menolak perkara-perkara yang disepakati oleh para ulama Ahli Sunnah wan Jamaah dan bagi saya, perkara yang paling teruk ialah Albani menyeru umat Islam di Palestin untuk keluar daripada palestin dan menyerahkannya kepada orang-orang Yahudi sebagaimana yang disebutkan dalam kitab Fatawa al Albani.
Kesimpulan yang boleh ana buat disini ialah Wahabi itu sebenarnya satu aliran pemikiran yang bermula daripada penentangan terhadap kegiatan serta pengamalan bid’ah yang keterlaluan sehingga menimbulkan ketaksuban dan sikap fanatik serta menimbulkan perasaan asabiah iaitu kekitaan didalam diri pengikut-pengikut aliran Wahabi yang pada pendapat ana matlamat asal mereka ini sangat murni namun akhirnya tercemar kerana sifat-sifat yang telah ana nyatakan sebelum-sebelum ini. 
Namun timbul satu persoalan di minda ana yang mana sehingga saat ana menulis ayat ini, ana masih berfikir benarkah adanya Wahabi di negara kita pada hari sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah pihak?  Perkara ini sering bermain dalam diri ana kerana orang-orang yang dituduh sebagai Wahabi seperti Dr Muhammad Asri Zainal Abidin sendiri tidak mengaku mereka ini sebagai Wahabi mahupun Salafi namun tidak ana sangkal bahawa sememangnya aliran pemikiran Wahabi ini mula meresap dalam negara kita kerana Wahabi selalu dikaitkan dengan penentangan mereka terhadap isu bid’ah.
Apa yang ana sendiri lihat adalah sikap sesetengah pihak yang agak eksterimis dalam menangani isu-isu yang melibatkan perkara-perkara yang menjadi perselisihan para ulama. Sikap yang terlalu taksub dengan satu-satu pendapat yang dikeluarkan oleh ulama yang menjadi ikutan merupakan antara punca mengapa perkara ini berlaku. 
Harapan ana agar semua pihak akan terus berlapang dada dan menerima segala amalan keagamaan yang dilakukan di Malaysia ini selagi mana ianya benar-benar tidak didasari dengan al Quran dan as Sunnah. Selagi mana ianya masih disepakati tidak salah dari segi agama, maka selaku umat Islam yang yakin bahawa 4 mazhab yang utama itu adalah benar, kita hendaklah bersedia untuk menerima apa jua amalan dan juga kemungkinan yang bakal berlaku. 
Sekali lagi ana tegaskan disini, artikel-artikel berkenaan Wahabi ini bukanlah untuk memburukkan sesetengah pihak sahaja, namun bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada pembaca agar setiap diri individu yang membaca akan mampu menilai sendiri baik buruk sesuatu perkara.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَأٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiklah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

 Al Hujurat : 6

 Wallahu a’lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...