Seusai
menunaikan solat Isyak 4 rakaat dan solat sunat taubat 2 rakaat, Aisyah kembali
ke meja belajar untuk menelaah nota-nota grafiknya yang berwarna warni serta
padat dengan isi penting. Semasa mencapai nota-nota tersebut, mata Aisyah
tertumpu pada laptop jenama DELL yang berwarna pink dan dihiasi dengan
manik-manik jernih, menampakkan lagi keayuan pemiliknya. Lantas, tanpa sebarang
kompromi, Aisyah mencapai laptop DELL tersebut dan menekan punat “On”. Tidak
lain tidak bukan, Aisyah memasang niat untuk menjenguk-jenguk status “hot”
dalam facebook. ‘’Sementara masih ada wifi free, wajib dimanfaatkan untuk
facebook sebelum mula study’’, getus Aisyah dalam hatinya. Dan sememangnya, inilah
rutin harian Aisyah sebelum memulakan medan ulangkajinya. Hidup mahasiswa dan
siswa pendidik, tidak sah jika tidak berfacebook dalam satu hari. Sedang asyik meneliti dan membaca status update dari
kenalan-kenalannya di facebook, tiba-tiba hati Aisyah bagaikan ditusuk-tusuk
paku tajam, sehingga menyebabkan mukanya merah padam menahan marah dan sakit
hati.
“Sakitnya hati aku baca status si Ustajahh gigi tebal ni. Memang sah statusnya nak sindir aku lah tu. Ni dah masuk kali ke berapa dah dia sindir aku.” Bentak Aisyah..
Rakan sebiliknya, Fatimah, terus menghentikan bacaannya
apabila mendengar Aisyah mengomel sendirian. Fatimah menutup bukunya, dan mula
bergerak menuju ke arah Aisyah.
“Kenapa dengan kau ni Aisyah. Main facebook pun marah-marah
ke? Cuba cerita sikit..”
“Begini Fatty , aku rasa si Aina budak agama
tu sindir aku kat status dia ni hah..yela…siapa tak tersindir..tadi, dia sorang
je pun yang nampak aku keluar dengan Alan. Aku kan belum ada lesen, aku perlu
hantar duit kat adik aku. Aku nak minta tolong kawan perempuan yang lain,
masalahnya aku takut dan segan nak minta tolong dengan dorang. Lagipun,
sekarang kan minggu exam.Nak bawa kau, kau pun selalu menolak ajakan aku.”
“Maaflah Aisyah, aku bukan tak nak, kau faham juga kan mak
bapa aku tak benarkan aku drive kat sini..kalau diorang tahu habislah aku….Hah!!
cakap pasal status si Aina tu, bak sini laptop kau. Biar aku baca apa dia
post”…
Muslimah sekarang, tudung dah
labuh tapi Ikhtilat tak dijaga. MasyaAllah. Sepatutnya pakaian taqwa itu
menjaga diri kita daripada melakukan perkara-perkara maksiat seperti berjalan
berdua-duaan dalam kereta antara muslimin dan muslimat yang belum halal. Wahai
Muslimah, Elakkan diri anda menjadi fitnah pada kaum Adam. Berubahlah sebelum terlambat
.Semoga perkara seperti itu tidak berlaku pada diri ini dan muslimah-muslimah
yang lain. Nauzubillah. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa anda, kami dan kita
semuanya.. Semoga Allah Redha.
#SiswaPendidik
“perghhh…sentap baca status dia ni…Kalau aku baca pun, memang
aku rasa dia tujukan buat kau. Sabarlah Aisyah..dia memang selalu
macamni..tegur orang kat facebook, jumpa depan-depan tak berani pulak..emmm..Kalau
tak silap aku, ada juga muslimah lain yang kena macam situasi kau ni. Orang
yang sama. Aina juga yang sindir diorang kat facebook..’’
“Status dia tuh betul Fatty.. Segala kata nasihat dia tuh
betul belaka..Aku sedar aku salah jugak..Cuma, yang aku tak puas hati, kalau
aku salah, apa salahnya dia direct jumpa aku. Ini,tak. update teguran tuh kat
facebook pulak..biar semua orang baca. Biar semua orang tengok dia tuh betul
belaka. Maklumla budak agama. Apa dicakap semua betul…tapi perasaan orang tak
difikir!!…Bila dia buat macam ni, aku makin sakit hati taw tak…!!Baru je tadi
aku doa dengan Allah supaya dilembutkan hati untuk maafkan semua orang yang
sakiti aku…tup..tup…si Aina buat aku marah pulak…”
* * * *

Sahabat- sahabat sekalian, pernahkah anda mengalami situasi
seperti dalam cerita di atas? Samada kita memegang watak sebagai orang yang
ditegur(Aisyah), ataupun orang yang menegur (Aina)? Jikalau pernah, mari kita
sama-sama bermuhasabah kembali di mana kekurangan kita dan di mana silapnya
kita.
Dalam hidup, kita tidak akan terlepas daripada ujian dan
cabaran hidup. Tidak kisahlah, ujian tersebut berat mahupun yang ringan. Setiap
manusia mempunyai ujian hidup masing-masing meskipun manusia tersebut adalah
manusia yang hebat dan sempurna, seperti Rasulullah s.a.w. Meskipun rasulullah
adalah kekasih Allah dan contoh sebaik-baik umat, tetap juga diberikan ujian
dengan berhadapan dengan umatnya yang bermacam ragam. Apatah lagi kita sebagai
manusia biasa. Orang yang berilmu akan diuji dengan sifat riak dan ujub,
orang-orang kaya akan diuji dengan masalah-masalah rumahtangga, begitu juga
dengan para pendakwah, yang akan diuji dengan mad’u-mad’u yang kadangkala
menolak ajaran yang dibawa. Namun, apabila menghadapi masalah-masalah sehingga
menyebabkan kita dalam kebuntuan dan tersungkur rebah, kita disarankan untuk
kembali pada ajaran Allah dan Rasul-Nya.
Berbalik kepada tajuk entri ini, “Semakin menegur semakin
dibenci, semakin ditegur semakin keras hati” ianya sangat berkait rapat
dengan kita sebagai seorang pendakwah dan orang-orang yang didakwah. Kadangkala,
kita yang tahu agama turut melakukan banyak kesilapan terutamanya dalam bab-bab
menegur orang lain. Dewasa kini, kita boleh lihat bagaimana pengaruh teknologi
mampu mendorong kita melakukan sesuatu yang hakikatnya salah akan tetapi selalu
nampak benar di mata kita. Sebagai contoh situasi di atas, yang mana
insan-insan yang tahu agama menegur orang lain dengan menggunakan Facebook
namun tidak bersemuka dengan orang yang hendak ditegur. Apa yang dikatakan
dalam status tersebut, adalah benar cuma apa yang salah ialah cara menegur.
Penulis tertarik dengan kata-kata daripada seorang pendidik, penulis dan
blogger yang hebat iaitu Ustazah Siti Khadijah.
” Benar, kadangkala kesilapan kita
dalam menegur perbuatan buruk seseorang lebih kepada ruang terbuka seperti di
Facebook, Twitter, Blog dan sebagainya. Sedangkan Nabi Muhammad saw mengajar,
teguran harus terus dinyatakan kepada si pelaku kesalahan, bukan diumumkan di
ruang terbuka atau juga melalui perantaraan.”
Bagi
penulis, kata-kata di atas sangat benar dan merupakan satu tamparan hebat
kepada penulis sendiri yang seringkali melakukan perkara yang sama.
Sememangnya, kita kini hidup dalam zaman yang serba canggih, dan tidak siapa
mahu ketinggalan untuk menggunakan kemudahan-kemudahan seperti facebook,
twitter, Wechat, dan whatsapp sebagai medan dakwah sesuai dengan peredaran
zaman. Namun hakikatnya, kemudahan-kemudahan seperti ini hanyalah sesuai untuk
menyampaikan pesanan-pesanan dan teguran-teguran yang berbentuk umum kepada
semua orang dan membawa manfaat kepada orang lain yang membacanya. Tidak pula
dikhaskan kepada orang yang ingin ditegur semata-mata. Sekiranya kita
mengetahui sesuatu kesalahan orang lain, dan orang tersebut sedia maklum
bahawa kita mengetahui kesalahan mereka,
usahlah menulis sesuatu yang sememangnya ditujukan khas buat mereka sehingga
mereka rasa tersindir dan sakit hati. Untuk mengelakkan mereka sakit hati,
adalah lebih molek jika kita menegur mereka secara talaqqi atau bersemuka atau face
to face dan bukan menegur secara face book.
Mari
kita contohi cara Rasulullah dalam menyampaikan teguran. Sebelum itu, mungkin
ramai yang berfikiran bahawa cara rasulullah menyampaikan dakwah dan teguran
adalah kolot dan tidak sesuai dengan zaman generasi Y yang kita alami kini.
Sahabat sekalian, mari kita renung dan buka minda sejenak. Sekiranya Rasulullah
masih hidup kini, dan Rasulullah menggunakan teknologi-teknologi yang ada untuk
menegur Umat Islam yang melakukan kesalahan tanpa bersemuka, adakah selesai
kemaslahatan Ummah? Adakah Umat-Umat Islam akan membaca apa yang di tulis oleh
Rasulullah dalam status mengikut nada Rasulullah? Ataupun membacanya dengan
nada sendiri yang disertakan dengan emosi dan mengundang penyakit hati?
Fikir-fikirkan…
Disebabkan
itulah hikmahnya Rasulullah bersama umat-umat terdahulu yang tidak ada
teknologi komunikasi yang canggih seperti kita sekarang. Rasulullah hendak ajar
dan tunjukkan kepada kita bahawa, dalam menyampaikan sesuatu teguran
itu,perlunya kita bersemuka dengan orang tersebut dan menegur menggunakan
kata-kata yang tidak menyakiti hati orang yang ditegur. Bila bersemuka, kita
boleh dengar nada dan boleh lihat emosi sebenar orang yang menegur kita. Kasih
sayang kadangkala boleh dilihat melalui isyarat anggota badan. Dari kedipan
mata, dari raut wajah, malahan sentuhan. Bila bersemuka, kita boleh berbincang
baik-baik, bertanyakan masalah yang dialami, dan mencari jalan untuk mengatasi
masalah tersebut. Maknanya orang yang menegur dapat memahami situasi sebenar
orang yang ditegur, dan tidak menghukum kesalahan secara membabi buta sahaja.
Berbeza apabila kita menzahirkan teguran tersebut dalam penulisan dan tanpa
bersua muka. Mungkin saja orang yang membaca, membacanya dengan nada yang tidak
betul kerana dia tidak melihat reaksi sebenar kita apabila menegur. Dan mungkin
sahaja orang yang menegur terus menghukum kesalahan kerana tidak mengetahui
hakikat yang sebenarnya. Ya, sememangnya ada yang boleh menerima cara itu,
tidak kurang juga ada yang tidak dapat menerima. Begitu juga dengan teguran.
Ada teguran yang menyembuhkan, ada juga teguran yang tambah menyakitkan. Kita
pilih yang mana.
Kita
kena ingat, tugas kita sebagai hamba bukanlah untuk menghukum kesalahan orang
lain, akan tetapi Allah membenarkan kita menjadi wasilah untuk membetulkan
kesalahan. Tapi membetulkan dengan cara yang betul. Oleh itu, jangan takbur
dengan tugas yang Allah berikan sehingga kita sendiri menjadi penghukum. Ingat,
Hanya Allah sahaja yang layak menilai hatta menghukum.
Mari
lihat bagaimana rasulullah menegur seseorang…
Asma binti Abu Bakar pernah masuk ke tempat di mana Rasulullah sedang
berada, waktu itu Asma memakai pakaian yang nipis. Rasulullah pun memalingkan
mukanya daripada memandangnya sambil berkata, “Wahai Asma, sesungguhnya seorang
wanita itu apabila dia sudah cukup umur, maka dia tidak boleh menampakkan
tubuhnya kecuali ini dan ini," sambil beliau menunjukkan bahagian wajah
dan telapak tangannya.
Huraian mengenai cara Rasulullah menegur
ini boleh dibaca dalam blog ini Ustazah siti Khadijah
Ayuh para sahabat sahabiah sekalian. Bersama-sama kita betulkan
kesilapan kita. Bersama kita mencontohi
akhlak terpuji Rasulullah s.a.w. Mari kita berubah menjadi pendakwah
yang peka, dan sentiasa memperbaiki kesilapan. Usahlah kita menjadi pendakwah
yang apabila menegur semakin dibenci, dan orang yang ditegur semakin keras
hati. Semua itu bersebab, boleh jadi dari kesilapan kita sendiri. Usah termakan
dengan kata-kata yang seringkali menjadi penyedap hati para pendakwah sehingga
enggan untuk menilai diri sendiri dan lupa untuk membetulkan kesilapan diri.
“Biasalah…bila bergelar pendakwah mesti akan
dibenci orang..mesti akan melalui ujian berat. Sedangkan Rasulullah sendiri
dibenci, inikan pula kita”.
Kata-kata di atas memang benar, akan tetapi kita kaji dahulu, kita
dibenci sebab apa, dakwah kita tidak diterima disebabkan apa. Rasulullah
dibenci bukan disebabkan oleh cara ataupun akhlak rasulullah itu buruk, akan
tetapi sirah Rasulullah sudah membuktikan bahawa Rasulullah dibenci disebabkan
oleh umat-umat yang jahil dan sangat fanatik dengan budaya mereka. Akan tetapi,
apabila mereka keluar dari kejahilan, mereka segera mengasihi Rasulullah dan
mencontohi akhlak Rasulullah. Berbeza dengan kita sekarang, orang-orang yang
kita dakwah kadangkala bukan dalam kalangan yang jahil agama, Cuma lalai dalam
soal agama. Oleh itu, kita perlu berdakwah dan menegur secara hikmah dan jangan
jadikan diri kita jahil dengan tidak mencontohi dan menghayati akhlak dan sirah
Rasulullah.
Sahabat, adakalanya kita sudah bermuhasabah dan memperbaiki
kesilapan namun masih dibenci oleh sesetengah individu. Mungkin “dibenci”
seperti ini, sememangnya ujian daripada Allah untuk menguji tahap kesabaran dan
keimanan kita. Adakalanya juga, kita sememangnya dibenci disebabkan sikap dan
cara kita menyampaikan dakwah mahupun teguran kepada orang lain. Oleh itu,
bersama-sama kita koreksi diri ke arah lebih baik. Sesuatu itu tidak akan
terjadi tanpa ada hikmah selepasnya. Percayalah,janji Allah itu pasti.
-
Layyinunnisaa -
Tiada ulasan:
Catat Ulasan