Firman Allah S.W.T

"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tidak mempunyai seorang penolong pun selain Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan"
-Surah Hud :113-

Pendidikan Dalam Islam


بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم

Pendidikan Islam mempunyai kekuatannya yang tersendiri kerana dengannya kita berupaya meletakkan asas yang kukuh dalam pembinaan tamadun manusia yang cemerlang dalam aspek duniawi juga ukhrawi. Dalam al Quran terdapat banyak ayat yang mengutarakan aspek pendidikan dalam pembinaan tamadun manusia, bahkan penurunan al-Quran itu sendiri bermatlamat untuk mendidik manusia. Demikian juga dengan hadis dan sunnah Nabi Muhammad, banyak daripada riwayat-riwayat baginda yang menjurus kepada kepentingan pendidikan dalam memperkasakan tamadun ummah dan dikuatkan lagi dengan beberapa contoh tindakan yang baginda laksanakan dalam menggalakkan umat Islam untuk mencintai ilmu pengetahuan. 

Pendidikan menurut Islam mempunyai kedudukan yang tinggi. Ini dibuktikan dengan wahyu pertama yang disampaikan kepada Nabi Muhammad yang menyuruh baginda membaca dalam keadaan baginda yang buta huruf. Di samping itu, wahyu ini juga mengandungi suruhan belajar mengenali Allah Taala, memahami fenomena alam serta mengenali diri yang merangkumi prinsip-prinsip aqidah, ilmu dan amal. Ketiga-tiga prinsip ini merupakan teras kepada falsafah pendidikan Islam.

Perkataan pendidikan dalam Bahasa Melayu ialah kata nama terbitan daripada kata akar didik yang membawa maksud jaga, pelihara dan ajar. Perkataan pendidikan juga sinonim dengan ajaran, latihan, tarbiah, pelajaran, bimbingan, asuhan dan tunjuk ajar. Dalam Bahasa Inggeris, pendidikan disebut sebagai education (Simpson dan Weiner 1989) yang dikatakan berasal daripada cantuman dua kalimah dalam bahasa latin iaitu e’ex dan ducereduc bererti ‘memimpin’ yang dapat diinterpretasikan sebagai mengumpul maklumat ke dalam diri bagi membentuk bakat (Abdullah Ishak 1995). 

Dalam bahasa Arab pula terdapat beberapa kalimah yang merujuk kepada pendidikan. Antara kalimah yang selalu digunakan ialah (Rosnani Hashim 2006; al-Attas 1979):

Tarbiyyah. 

Kalimah tarbiyyah berasal daripada kata dasar “ rabba “ (mengasuh, memelihara atau memimpin). Ia juga merujuk kepada proses perkembangan potensi individu, mengasuh atau mendidik untuk menuju kepada satu keadaan yang selesa dan matang.

Ta’lim.

Kalimah ta’lim berasal daripada konotasi “ ‘alima ” (mengetahui, memberitahu, melihat, mencerap, menganggap). Ia merujuk kepada proses menyampaikan atau menerima ilmu pengetahuan yang kebiasaannya didapati melalui latihan, arahan, tunjuk ajar atau lain-lain bentuk pengajaran.

Ta’dib.

Berasal daripada kalimah “ aduba “ (memperhalusi, berdisiplin dan berbudaya). Ia merujuk kepada proses pembinaan watak dan pengajaran asas-asas penting untuk hidup bermasyarakat, ini termasuklah memahami dan menerima prinsip yang paling asas sekali iaitu keadilan.

Dari sudut istilah pula, Prof. Hassan Langgulung (1987) menegaskan pendidikan sebagai merubah dan memindahkan nilai-nilai kebudayaan kepada setiap individu masyarakat melalui pelbagai proses. Proses pemindahan tersebut ialah pengajaran, latihan dan indoktrinasi. Pemindahan nilai-nilai melalui pengajaran ialah memindahkan pengetahuan dari individu kepada individu yang lain; dan latihan ialah membiasakan diri melakukan sesuatu bagi memperoleh kemahiran, sementara indoktrinasi pula menjadikan seseorang dapat meniru apa yang dilakukan oleh orang lain. Ketiga-tiga proses ini berjalan serentak dalam masyarakat primitif dan moden.

Dr. Yusuf al-Qardawi (1980) pula mendefinisikan pendidikan sebagai pendidikan bagi keseluruhan hidup termasuklah akal, hati dan rohani, jasmani, akhlak, dan tingkahlaku. Ia bertujuan untuk menyediakan manusia bagi menghadapi masyarakat yang sering menghadapi kebaikan dan kejahatan, kemanisan dan kepahitan.

Pendidikan Islam juga dijadikan sebagai satu proses mengasuh dan mendidik, membela, melatih, menyucikan, membaiki, mengawal hawa nafsu, membentuk ketaatan kepada Allah Taala membentuk sikap sopan dan beradab dan memadamkan semua sifat tercela yang ada dalam diri manusia. Semua definisi ini memberikan kefahaman bahawa hampir keseluruhan pendidikan yang dikehendaki dalam Islam ialah merujuk kepada pendidikan rohani manusia selaku hamba Allah di muka bumi ini bagi memancarkan kejernihan akhlak dan budi pekerti yang tinggi selain untuk perkembangan ilmu pengetahuan itu sendiri yang merupakan medium yang amat penting dalam membangunkan ketamadunan manusia yang hidup di dunia ini.

Kesimpulannya, pendidikan menurut Islam ialah satu proses berterusan untuk merubah, melatih, dan mendidik akal, jasmani, dan rohani manusia dengan berasaskan nilai-nilai Islam yang bersumberkan wahyu bagi melahirkan insan yang bertaqwa dan mengabadikan diri kepada Allah s.w.t. untuk mendapatkan kejayaan di dunia dan akhirat.

TUJUAN PENDIDIKAN DALAM ISLAM

Setiap segala sesuatu yang terjadi pasti ada hikmah dan tujuan disebaliknya demikian juga pendidikan ini sebagaimana firman Allah Taala dalam surah al Imran ayat ke-191 :

Maksudnya : “Orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah Taala semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! tidaklah engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, maha suci engkau, maka peliharalah kami dari azab api neraka.”

Mencapai suatu akhlak yang sempurna adalah tujuan sebenarnya dari pendidikan. Para ahli pendidikan Islam telah sepakat bahawa hasil dari pendidikan dan pengajaran bukanlah hanya memenuhi otak anak didik dengan segala macam ilmu yang belum mereka ketahui, tetapi adalah untuk mendidik akhlak dan jiwa mereka, menanamkan rasa ketaqwaan, membiasakan mereka dengan kesopanan yang tinggi, mempersiapkan mereka untuk suatu kehidupan yang suci seluruhnya ikhlas dan jujur.

Maka tujuan utama dan tunjang dari pendidikan Islam adalah mendidik budi pekerti dan pendidikan jiwa. Semua mata pelajaran haruslah mengandung pelajaran Akhlak keagamaan, karena akhlak keagamaan adalah akhlak yang tertinggi, sedangkan Akhlak yang mulia itu adalah tiang dari pendidikan Islam.

Menurut Al-Ghazali, tujuan dari pendidikan adalah mendekatkan diri kepada Allah, bukan pangkat dan bermegah-megah, dan hendaklah seorang pelajar itu belajar bukan untuk menipu orang-orang bodoh atau bermegah-megahan. Jadi pendidikan itu tidak keluar dari pendidikan akhlak.

Pendidikan juga akan melahirkan individu muslim yang benar-benar muslim dari segala sudut kehidupannya.  Pendidikan juga mampu menjadikan siapa diri kita sebenarnya.  Berdasarkan buku karangan Fathi Yakan, di dalam dunia ini terdapat 3 golongan manusia yang wujud di muka bumi Allah Taala ini iaitu :

  • Golongan yang hidup untuk dunia sahaja.
Golongan ini terdiri daripada mereka yang bersifat dan berfikiran maerialistik samada berdasarkan falsafahmahupun golongan “Dahriyin”.  Pandangan “Dahriyyin” ini diperjelaskan oleh Allah Taala berdasarkan firmannya di dalam surah al An’am ayat ke-29:         

Maksudnya : “Dan tentulah mereka akan berkata pula: "Tiadalah hidup yang lain selain dari hidup kita di dunia ini, dan tiadalah kita akan dibangkitkan semula sesudah kita mati".

  • Golongan yang sesat antara dunia dan akhirat.
Golongan ini terdiri daripada orang kebanyakkan. Aqidah mereka sekadar apa yang mereka lafazkan dan segala usaha mereka adalah usaha yang sia-sia namun mereka menyangka mereka telah melakukan kebaikan.

Mereka ini walaupun percaya kepada Allah Taala dan kedatangan hari akhirat, namun aqidah mereka tidak lebih daripada gambaran palsu yang terpisah dan terputus daripada reality kehidupan.  Pada hakikatnya, mereka ini masih tergolong dalam golongan mereka yang menganut fahaman kebendaan sekalipun pada zahirnya mereka melakukan sebahagian daripada amalan kerohanian. Tepatlah sebagaimana yang pernah diungkapkan oleh seorang penyair dalam syairnya :

Kita tampungkan kecacatan dunia kita,
Dengan mengoyakan agama kita,
Akhirnya rosak kedua-duanya,
Baik dunia mahupun agama

  • Golongan yang menganggap dunia ini adalah ladang tanaman untuk di akhirat.
Mereka ini adalah golongan yang benar-benar beriman dan mengetahui hakikat sebenar kejadian alam semesta ini.  Mereka menginsafi dan menjadikan dunia ini sebagai tempat untuk mencari rahmat Allah Taala.  Segala apa yang mereka lakukan adalah didasari oleh Islam itu sendiri. Firman Allah Taala dalam suran al An’am ayak ke-3 :

Maksudnya : “Dan Dialah Allah (yang disembah dan diakui kekuasaan-Nya) di langit dan di bumi; ia mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu lahirkan, dan ia juga mengetahui apa yang kamu usahakan.”

Oleh kerana rendahnya nilai dunia berbanding akhirat, maka kehidupan dunia yang sibuk ini tidaklah menghalang mereka daripada melaksanakan tujuan dan matlamat penciptaan manusia itu sendiri sebagaimana firman Allah Taala dalam surah al Dzariat ayat ke-56 :

Maksudnya : “Dan (ingatlah) aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.”

Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa tujuan pendidikan dalam islam itu untuk membentuk individu muslim yang mempunyai karakter sebagai seorang yang berperibadi Islam, menguasai tsaqafah Islam, dan menguasai ilmu kehidupan. Pendidikan dalam Islam itu sendiri secara tidak langsung akan menjadikan seseorang insan itu menjadi lebih baik daripada sebelumnya dan membawa kepada pencapaian mardhatillah.

Wallahu a'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...