Firman Allah S.W.T

"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tidak mempunyai seorang penolong pun selain Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan"
-Surah Hud :113-

Dakwah satu tuntutan - Bahagian 2

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم


Persoalan :


Apakah hukum berdakwah ?


Jawapannya :


Ulama masih berselisih mengenainya. Namun ada dua hukum berdakwah yang menjadi pertikaian para ulama iaitu : 



1.  Berdakwah Satu Fardhu Ain

Dalam buku Panduan Berdakwah Di Malaysia, karangan Ustaz Farhan, ada dihuraikan 2 hukum dakwah yang disebutkan sebelum ini. Berikut adalah merupakan pendapat para ulama yang menyatakan bahawa berdakwah itu merupakan satu tuntutan fardhu Ain :

“Perintah kepada umat Islam seluruhnya. Mereka itu hendaklah menjadi umat dakwah maka setiap muslim diwajibkan berdakwah sekadar kuasanya supaya dengan demikian itu umat Islam seluruhnya menjadi umat yang menyeru kepada kebaikan”

Pandangan ini adalah didasari kepada beberapa dalil al Quran, Hadis, dan Qias.  Dalil Al Quran sebagaimana firman Allah Taala dalam surah Al Maidah ayat ke-67 (Rujuk Al Quran):

Maksudnya : “Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari tuhanmu dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusan-Nya. Dan Allah jualah akan memeliharamu dari (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang kafir.”

Berdasarkan ayat ini, Dr Abu al Majid as Sayyid Nawfal menjelaskan bahawa oleh kerana Nabi Muhammad diamanahkan dengan tugas menyampaikan agama Allah, maka umatnya juga diamanahkan dengan tugas itu. Nabi adalah contoh yang mesti diikuti oleh semua umatnya.

Dr Abdul Karim Zaidan pula menyatakan bahawa tanggungjawab ini mestilah dipikul bersama oleh umat Islam seluruhnya kerana ianya tidak termasuk di dalam perkara yang khusus kepada Nabi Muhammad sahaja.

Bagi dalil Hadis pula, sabda Nabi Muhammad yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim :

عَنْ أَبِي بَكْرَةَ عَنْ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لِيُبَلِّغ الشَّاهِدُ الْغَائِبَ فَإِنَّ الشَّاهِدَ عَسَى أَنْ يُبَلِّغَ مَنْ هُوَ أَوْعَى لَهُ مِنْهُ.

Maksudnya : “Dari Abi Bakrah r.a., Nabi Muhammad bersabda: "Hendaklah orang yang hadir menyampaikannya kepada orang-orang tidak hadir kerana sesungguhnya boleh jadi orang yang disampaikan hadis itu kepadanya lebih faham daripada yang menyampaikannya.”

Hadis diatas dengan jelas memerintahkan sesiapa sahaja yang mengetahui mengenai agama agar memberitahu kepada yang lain.  Walaubagaimanapun, “tidak mengetahui” tidak boleh dijadikan alas an untuk tidak berdakwah kerana Islam mewajibkan setiap umatnya untuk belajar dan menuntut ilmu.

Dari sudut qias pula, terdapat satu kaedah yang selalu diguna pakai dalam usul fiqh untuk menetapkan sesuatu hokum berkaitan Islam yang berbunyi :

ما لم يتيم الواجب الا به فهو الواجب

Maksudnya : “ Jika sesuatu perkara yang wajib itu tidak dapat dilakukan kerana ianya bergantung kepada sesuatu perkara, maka perkara yang lain itu juga menjadi wajib untuk disempurnakan ”

Kaedah ini dipadankan dengan dakwah yang mambawa segala dasar, peraturan dan kewajipan yang terdapat di dalam Islam yang wajib dilaksanakan secara sepenuhnya oleh setiap individu Islam.  Namun untuk melaksanakannya mestilah didahulukan dengan berdakwah.  Maka dakwah tersebut telah menjadi satu kewajipan kepada setiap individu muslim itu sendiri.

2.  Berdakwah Satu Fardhu Kifayah

Sebagaimana yang telah dinyatakan, terdapat satu golongan ulama yang menyatakan bahawa berdakwah itu sebagai satu kefardhuan yang berbentuk kifayah.  Asas kepada pendapat ini adalah dengan mengatakan bahawa tuntutan dakwah adalah satu perintah yang ditaklifkan hanya kepada sebahagian umat Islam.  Perkara ini didasari kepada nas al Quran sebagaimana firman Allah Taala dalam suran al Imran ayat ke-104 :

Maksudnya : “ Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. ”

Bagi kelompok ulama ini, kalimah “di antara kamu” dalam ayat diatas menunjukkan bahawa perintah ayat tersebut ditujukan kepada sebahagian daripada umat Islam sahaja.

Menurut al Qurthubi, amalan menyeru kepada perkara makruf dan mencegah kepada kemungkaran adalah merupakan perkara fardhu kifayah.  Al Shaukani pula menjelaskan bahawa perintah tersebut khusus kepada ahli ilmu yang mengetahui tentang apa yang ditegah dan apa yang disuruh.  Antara dalil yang digunakan ialah nas al Quran sebagaimana firman Allah Taala dalam surah at Taubah ayat ke-122 :

Maksudnya : “Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang). Oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka. Mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).”

Mentafsirkan ayat tersebut, al Qurthubi menjelaskan bahawa jihad itu merupakan satu fardhu kifayah kerana ada golongan yang dimestikan keluar berjihad dan ada golongan yang dimestikan belajar mendalami ilmu agama.

Daripada apa yang telah dibincangakan di atas, satu kesimpulan yang boleh dibuat ialah berdakwah merupakan satu perkara yang sangat dipandang berat oleh Islam dan ianya merupakan satu ibadah yang amat tinggi nilainya.  Sebagaimana sabda nabi Muhammad :

لا يهدي لله بك رجلا واحدا خير لك من حمر النعم

Maksudnya : “Sesungguhnya apabila Allah Taala memberi hidayah kepada seseorang dengan sebab engkau adalah lebih baik bagi engkau dari unta-unta merah”

Sebagaimana yang telah saya katakana, berdakwah samada ianya merupakan satu tuntutan fardhu ain ataupun fardhu kifayah, namun ianya tetap merupakan suatu tugas yang paling mulia disisi Allah Taala serta menjadi sunnah kepada sekalian Nabi dan Rasul.  Jesteru itu, rebutlah peluang berdakwah ini kerana ianya merupakan satu amalan yang paling diredhai oleh Allah Taala. 

Ingatlah, apapun hukum berdakwah yang menjadi perselisihan di antara para ulama, namun tunjang hukumnya tetap satu kefardhuan. Oleh itu, kita sememangnya tidak boleh sekadar berpeluk tubuh dan menjadi pemerhati kepada gerak kerja dakwah orang lain. 

Kalau bukan kita, siapa lagi ?

Wallahu a'lam. 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...