Firman Allah S.W.T

"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tidak mempunyai seorang penolong pun selain Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan"
-Surah Hud :113-

Siapa Wahabi - Bahagian 3


بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم سموا

Pergerakkan dakwah wahabi yang mengaku sebagai aliran salafi sebenarnya telah bangkit di negara-negara Arab sejak 200 tahun yang lalu. Kini ianya semakin berkembang meluas khasnya di negara kita Malaysia dan ke seluruh pelusuk nusantara secara amnya berikutan ramai anak-anak muda yang dihantar untuk menimba ilmu di kawasan tanah Arab sejak kebelakangan ini. Rentetan daripada ramainya anak nusantara yang menimba ilmu di sana, maka aliran salafi ini mula dipraktikkan dalam kalangan mereka dan apabila mereka pulang ke negara mereka, mereka mula mengembangkannya kerana mereka yakin bahawa itulah pegangan umat Islam sebenarnya.


Pergerakkan ini sebenarnya diasaskan oleh seorang ulama yang bernama Muhammad bin Abdul Wahab yang berasal dari wilayah Najd pada tahun ke 18 Masihi bersamaan kurun ke 12 Hijrah. Semenjak itu, terkaitlah nama beliau dengan gerakan aliran salafi ini.  Sesetengah pihak menggelar gerakan dakwah ini sebagai “Dakwah Wahabiyyah” manakala sesetengah pihak hanya mengenalinya dengan istilah “Wahabi”. Namun terdapat beberapa kitab yang ditulis mengaitkan sebahagian dakwah sebagai “Agama Baru dalan Islam” yang dibawa oleh Muhammad bin Abdul Wahab dan ianya juga dikenali sebagai “Islam Baru”. Keterangan mengenainya boleh didapati daripada buku “Islam Wahabi” karangan Delong-Bas Natana (2005).

Apa yang boleh ana katakan berdasarkan beberapa pembacaan daripada beberapa buah buku dan internet serta mendengar pandangan-pandangan daripada beberapa orang tokoh ulama seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Zaharuddin, Dr Mohammad Asri Zainal Abidin, dan ramai lagi melalui ceramah-ceramah mereka yang dimuat naik ke dalam laman Youtube serta beberapa orang pensyarah ana, hasil yang dapati ialah Wahabi itu sebenarnya berasal daripada nama Muhammad bin Abdul Wahab itu sendiri. 


Wahabi ini juga seperti yang diperjelaskan oleh beberapa tokoh agama yang ana sebutkan tadi merupakan satu aliran pemikiran sahaja dan ianya bukanlah satu aliran mazhab seperti mazhab Syafie, Hanbali, Hanafi, dan Maliki. Ustaz Zaharuddin dalam satu temu ramah ada menyatakan bahawa perkara ini boleh dibuktikan dengan ketiadaan Wahabi ini dalam mazhab aqidah mahupun fekah. Sebagai contoh, dari sudut aqidah, terdapat banyak mazhab seperti Khawarij, Qadariah, Jabariah, dan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Manakala bagi mazhab fekah pula adalah seperti yang telah saya sebutkan di atas iaitu Mazhab Syafie dan sebagainya namun tiada mazhab Wahabi dinyatakan.


Hal berkenaan Wahabi ini hanya satu aliran pemikiran turut diperkukuhkan lagi melalui pengakuan yang dibuat sendiri oleh Muhammad bin Abdul Wahab dan pengikut-pengikutnya.  Mereka mengakui bahawa mereka ini berpegang dengan mazhab Hanbali dan perkara ini turut ditegaskan lagi oleh salah seorang tokoh ulama besar Saudi dengan menyatakan :


"لم يأت الشيخ محمد بن عبد الوهاب للناس بجديد ، ولم يدعهم إلى أمر غريب ، بل دعاهم إلى العودة لدين الله ، والإستمساك بكتاب الله ، وسنة رسوله ، والوقوف عندهما ، وتحرير العقائد مما يخالطها من شوائب "


Maksudnya : “ Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab tidak membawa aliran baru dan tidak pula menyeru kepada perkara yang pelik.  Bahkan beliau menyeru kepada mereka untuk kembali kepada agama Allah Taala, berpegang teguh dengan kitab Allah Taala, sunnah rasul-Nya, berdalilkan dengan keduanya serta membebaskan dari pegangan aqidah yang telah bercampur dengan kekotoran ” 


Dari aspek perkara cabang dalam Islam, mereka yang beraliran Wahabi ini berpegang dengan mazhab Imam Ahmad bin Hanbal sebagaimana yang telah ana katakan sebelum ini namun realitinya mereka tidak berpegang teguh terhadap aliran mazhab ini sepenuhnya. Mereka ini seolah-olah mewujudkan sebuah lagi mazhab baharu kerana mereka akan meninggalkan beberapa perkara yang dipegang oleh mazhab Hanbali andai tiga lagi Imam iaitu Imam Syafie, Imam Abu Hanifah, dan Imam Malik bersepakat mengenai sesuatu perkara yang bercanggah dengan pendapat Imam Ahmad bin Hanbal.

Menerusi sudut sejarah, didapati bahawa gerakan dakwah Wahabi ini sebenarnya terbina dan bermula atas dasar penyelewengan yang melampau dari konteks pegangan aqidah masyarakat Arab pada waktu itu. Didasari perkara tersebut, maka imam-imam serta pemimpin-pemimpin fahaman ini memutuskan untuk menghapuskan segala penyelewengan yang berlaku. Pada masa yang sama, pelopor-pelopor gerakan ini menolak bahawa mereka ini sebagai gerakan Wahabi dan mereka lebih senang untuk digelar sebagai kumpulan al Muwahhidin, al Ikhwan, atau Salafi. 


Apa yang boleh disimpulkan melalui huraian di atas ialah perkataan Wahabi itu bagi pendapat ana sebenarnya wujud daripada nama pengasas aliran pemikiran ini. Selain itu, ana dapati bahawa Wahabi ini bukanlah satu aliran mazhab kerana ianya hanyalah sebagai satu aliran pemikiran yang berlandaskan al Quran dan as Sunnah semata-mata. Mereka ini juga seolah-olah mencampur aduk keempat-empat mazhab utama dalam Islam kerana mereka akan memilih pendapat-pendapat ataupun menggunakan dalil-dalil yang disepakati oleh ramai di antara keempat-empat imam yang mengasaskan mazhab tersebut. 

In sha Allah, selepas ini kita akan meneliti apakah permasalah yang berlaku kepada golongan Wahabi ini.

Wallahu A'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...