Firman Allah S.W.T

"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tidak mempunyai seorang penolong pun selain Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan"
-Surah Hud :113-

Siapa Wahabi - Bahagian 2


بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم سموا

Sebelum kita pergi jauh membincangkan tajuk ini, ana nak sentuh sedikit mengenai "salafi" kerana ada orang yang mengaitkan golongan salafi ini dengan golongan Wahabi.


Dari sudut etimologi, salafi disandarkan kepada perkataan salaf.  Perkataan salaf ini menerusi kamus membawa maksud golongan yang terdahulu. Perkataan salaf ini juga selalu digunakan di dalam al Quran sebagaimana firman Allah Taala dalam surah az Zukhruf ayat 56 :
 “Maka Kami jadikan mereka contoh dan pengajaran bagi orang-orang yang datang kemudian.

Firman Allah Taala dalam surah an Nisa ayat 22 :

Maksudnya : “Dan janganlah kamu berkahwin (dengan perempuan-perempuan) yang telah diperisterikan oleh bapa kamu kecuali apa yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya perbuatan itu adalah satu perkara yang keji, dan dibenci (oleh Allah), serta menjadi seburuk-buruk jalan (yang dilalui dalam perkahwinan).

Kedua-dua contoh ayat daripada al Quran yang ana bawakan di atas memberi maksud yang sama berkenaan dengan perkataan salaf iaitu perkara yang lepas ataupun perkara-perkara yang terdahulu sebelum kehidupan manusia pada hari ini.

Pengertian salaf daripada sudut terminologi pula membawa kepada perkaitan dengan nama bagi individu yang mazhab agamanya ditiru dan pendapat-pendapatnya diikuti. Kadangkala maksud salaf meliputi setiap mujtahid. Daripada perkataan salaf ini, muncullah perkataan salafi. Persoalannya kini, adakah benar salaf bermaksud mereka yang terdahulu? 

Dr Muhammad Amarah menerangkan berkenaan kemunculan salafi ini yang mana beliau mengatakan ianya muncul sewaktu zaman pemerintahan Khalifah Abbasiah. Ketika itu, aliran pemikiran yang tersebar luas adalah aliran mazhab Hanbali yang diasaskan oleh Imam Ahmad bin Hanbal. Dr Muhammad Amarah berpendapat bahawa salafi adalah mazhab Ahmad bin Hanbal dan salafiah adalah mereka yang mengikut mazhab Hanbali.

Syeikh Muhammad al Ghazali pula mempunyai pandangan yang berbeza kerana menurut beliau, salafi adalah aliran pemikiran dan perasaan yang berhubung kait dengan kurun yang baik, kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada al Quran dan as Sunnah serta mengumpulkan usaha-usaha umat bagi mengangkat kalimah Allah Taala baik dari segi material ataupun spiritual tanpa membezakan warna kulit serta keturunan.

Menurut beliau lagi, pengikut salafi bukanlah kumpulan yang terdiri daripada mereka yang menghuni kawasan khusus di negara Arab sahaja dan hidup dengan cara yang khusus semata-mata. Syeikh Muhammad al Ghazali juga telah menolak pandangan Dr Muhammad Amarah dengan mengatakan bahawa sesiapa yang mengatakan atau memahami bahawa aliran fikrah Ahmad bin Hanbal adalah salafi merupakan satu kenyataan yang salah. Salafi mengikut pendapat Syeikh Muhammad al Ghazali merupakan akal yang bebas mengkaji dan aktif. Maksudnya di sini, beliau berpendapat bahawa salafi merupakan satu aliran pemikiran dan perasaan yang menjadikan al Quran dan hadis sebagai sumber rujukan. Pendapat ini juga disokong oleh ramai cendikiawan Islam seperti Muhammad Abduh dan Prof. Dr Ramadhan al Buthi.

Prof. Dr Ramadhan al Buthi mengatakan bahawa bermazhab dengan salafi merupakan perbuatan yang bid’ah kerana menurut beliau, salafus soleh mempunyai mazhab khusus untuk mereka yang menerangkan peribadi mereka dan hakikat jemaah mereka. Walaupun aliran mereka ini dinamakan sebagai salafi, namun mereka banyak memberi ruang kepada akal berbanding salafiah nususiah yang berasaskan teks. 

Menerusi pencarian maklumat di internet, ana dapati maksud salaf lebih didefinisikan mengikut zaman tertentu. Sebagai contoh, dalam satu laman web ada mengatakan bahawa perkataan salaf menurut kalangan ulama aqidah membawa maksud sekitar sahabat, tabi’in, dan tabi’ tabi’in yang hidup pada tiga abad pertama yang dimuliakan dari kalangan para imam yang telah diakui keimanannya, kebaikannya, kefahamannya terhadap as Sunnah dan keteguhannya dalam menjadikan as Sunnah sebagai pedoman hidupnya, menjauhi bid’ah, dan dari orang-orang yang telah disepakati oleh umat tentang keimanan mereka serta keagungan kedudukan mereka dalam agama.

Selain daripada itu, melalui pembacaan di internet, ana juga mendapati banyak yang berpendapat bahawa maksud salaf itu adalah sebagaimana yang dimaksudkan oleh perkataan salaf itu sendiri iaitu golongan yang terdahulu.  Mungkin akan timbul persoalan kenapa perlu disentuh mengenai salaf dan salafi dalam tugasan ini ? Hal ini adalah kerana golongan wahabi itu sendiri dikatakan sebagai golongan salafi. Perkara ini sebenarnya perlu diperjelaskan secara mendalam untuk memahaminya, namun apa yang boleh diringkaskan disini adalah ramai dalam kalangan cendikiawan Islam yang bersetuju bahawa golongan salafi bukanlah golongan salafus soleh. 

Siapa pula yang dikatakan salafus soleh ini? Ada beberapa pendapat mengenai persoalan ini.

  • Pendapat pertama
Salafus soleh merupakan mereka yang berdamping dengan Nabi Muhammad dan dikira mengikut individu itu sendiri.  Contohnya para sahabat seperti Saiyidina Abu Bakar, Saiyidina Umar, Saiyidina Uthman, dan Saiyidina Ali.

  • Pendapat kedua
Salafus soleh merupakan mereka yang dikatakan sebagai “bukan khalaf”, kerana berdasarkan bahasa, salaf adalah golongan sebelum khalaf.  Khalaf membawa maksud golongan ulama yang menghidupkan dan meneruskan tradisi golongan salaf. Mereka ini menolak bid'ah dan khurafat supaya kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Perkembangan zaman terutamanya dalam pemikiran dan kebudayaan asing telah mula menyelinap masuk ke dalam pemikiran dan kebudayaan umat Islam. Maka kehadiran golongan khalaf juga bertujuan untuk menangani permasalahan dalam mentafsirkan sumber agama Islam daripada sebarang penyelewengan dan membersihkan aqidah Islam daripada pemikiran falsafah, ketuhanan Yunani, Tasawuf Falsafi dan kebudayaan lama Parsi daripada terus bertapak dalam masyarakat Islam. 

  • Pendapat ketiga
Pendapat ini lebih kepada umat manusia yang hidup mengikut zaman.  Namun, pada ulama masih berselisih pendapat mengenainya.  Terdapat 3 pandangan para ulama mengenainya iaitu :

Pandangan pertama     : Mereka yang hidup sebelum 100 Hijrah
Pandangan kedua        : Mereka yang hidup sebelum 300 Hijrah
Pandangan ketiga        : Mereka yang hidup sebelum 500 Hijrah

  • Pendapat keempat
Mereka yang berpegang dengan al Quran dan as Sunnah serta mendahulukan kedua-duanya berbanding yang lain dalam mengeluarkan dalil dalam kehidupan seharian. Pendapat keempat ini adalah pendapat yang paling disepakati (rajih).

Cukuplah sekadar pengenalan bagi anda mengenai salaf ataupun salafi ini. In sha Allah, selepas ini ana akanmembicarakan mengenai pengertian Wahabi pula.

Wallahu a'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...